Rabu, 31 Ogos 2016

Perutusan merdeka: Serlahkan tokoh pejuang kemerdekaan, tolak pemimpin korup

MALAYSIA DATELINE
 
 
Mohamad Sabu Mohamad Sabu


Menyambut kemerdekaan sesebuah negara adalah bermaksud menyambut satu kebebasan. Ia diperoleh selepas penjajah meninggalkan tanah air dan diganti oleh pemerintah daripada anak watan sendiri.

Di Malaysia, perayaan menyambut kemerdekaan seolah-olah menjadi sambutan ulang tahun Umno dan bukannya merayakan pembebasan daripada penjajah.

Hanya wajah-wajah bekas pemimpin Umno ditonjolkan. Ia tidak salah tetapi perlu disertakan dengan tokoh pejuang kemerdekaan yang lain.

Pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Pak Sako, Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Abu Bakar al-Baqir dan ramai lagi tidak tersenarai dalam propaganda menyambut kemerdekaan negara ini. Ini sangat malang sekali buat rakyat negara ini.

Kebelakangan ini, kita melihat rakyat tidak berminat mengibarkan bendera Malaysia sama ada di kenderaan, rumah atau premis mereka. Sebaliknya hanya kenderaan dan premis rasmi kerajaan yang mendapat arahan sahaja berbuat demikian.

Sikap dingin ini ekoran sambutan Merdeka di negara ini yang dilihat semakin hilang semangatnya kerana dicemari propaganda Umno yang menjadikannya sebagai medan meraih populariti politik.

Berbeza sekali dengan sambutan di negara lain khususnya negara jiran kita Indonesia. Kita dapat melihat rakyat mereka, tidak mengira lapisan masyarakat mengibarkan bendera mereka di setiap rumah.

Selain itu, mahu tidak mahu kita perlu menerima hakikat bahawa Malaysia dalam keadaan punah akibat kerakusan pemerintah.

Saya mengharapkan rakyat lebih tegas menolak pemimpin korup agar maruah negara Malaysia dapat dikembalikan.

Saya juga ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah sama-sama kita memerdekakan minda kita dari fahaman perkauman sempit dan pemikiran melampau yang boleh merosakkan negara.

Merdeka, merdeka, merdeka! Harapan Baru.

*  MOHAMAD SABU, Presiden Amanah Negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.