Sekumpulan wanita berusia lebih 50-an kelihatan mesra berbual sambil memerhati dua rakan mereka membersihkan ikan bilis di Blok 6, Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur, pagi minggu lalu.
Tidak jauh daripada mereka, tiga kanak-kanak perempuan dilihat sedang bermain badminton dengan pelbagai barangan permainan lain di atas hamparan plastik.
Namun, dalam senda gurau kaum ibu berkenaan terbuku kebimbangan tentang 'kemaruk' pembangunan projek komersial dan kediaman mewah di sekitar penempatan flat yang dihuni mereka sejak tahun 1989 itu.
Ibu kepada enam anak, Halimaton Saadiah Chan Abdullah, 57, berkata, projek kondominium menghampiri sejuta ringgit seunit di sekitar Kerinchi sehingga ke Pantai Dalam seolah-olah hanya mahu menghalau orang Melayu dari kawasan itu.
“Kita ni megah saja merdeka masuk ke 59 tahun tetapi orang Melayu nampaknya semakin dijajah rumah mewah dan dihambat jauh dari pusat bandar raya.
“Orang atas makan Musang King. Kita orang bawah ini makan durian busuk sajalah. Pemimpin Melayu sendiri hanya tahu sumbat Melayu dalam sangkar merpati.
“Anak-anak kami sudah tak mampu lagi memiliki rumah sendiri dekat sini. Apa yang pemimpin Melayu kita buat, tidak tahulah. Boleh pula biarkan saja berekar-ekar tanah dibuat kondo, apartment harga dekat sejuta tapi nanti, siapa isi?
"Kerajaan macam tiada perancangan untuk orang Melayu tinggal. Sekarang ini, Melayu mampu tengok bukan mampu beli (rumah),” luahnya ketika ditemui Malaysia Dateline, 28 Ogos lalu.
Berkenaan kemampuan Melayu memiliki kediaman ditawarkan di kawasan itu, semakan Malaysia Dateline mendapati, masih terdapat 60 unit kediaman kuota Bumiputera belum terjual setakat Mac tahun lalu bagi fasa pertama Pantai Sentral Park iaitu Inwood Residences.
Harga ditawarkan kepada unit Bumiputera itu pula bermula RM775,718 manakala fasa kedua projek berkenaan, Secoya Residence setinggi 41 tingkat mempunyai 243 unit kediaman dengan keluasan bermula 1,050 hingga 1,670 kaki persegi.
Kesemua tujuh fasa kediaman bagi projek di Pantai Sentral Park itu dilaporkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan mencecah RM3 bilion.
Trafik makin teruk
Sementara itu jirannya, Lela Khidir, 52, memberitahu keadaan trafik di Jalan Kerinchi juga semakin kritikal sebaik sahaja pusat komersial, kompleks pejabat dan apartment servis seperti ‘The Park Residence’ dan ‘Nexus Bangsar South’ tidak jauh dari Flat PKNS Kampung Kerinchi mulai dihuni sejak beberapa tahun lalu.
“Masalah parkir semakin teruk. Lihat saja sekitar Pantai Hill Park dari Jalan Pantai Permai ini sehingga ke Pusat Komuniti Lembah Pantai. Kereta bersusun sudah jadi macam PPR (Projek Perumahan Rakyat).
“Itupun projek Pantai Sentral Park sedang rancak berjalan. Tapak yang dahulunya menempatkan rumah panjang sebelum mereka berpindah ke PPR, dengarnya dulu mahu dibina sekolah tapi nampaknya yang naik projek mewah saja. Apa jadi nanti 5, 10 tahun akan datang?” soalnya.
Sementara itu, tinjauan Malaysia Dateline mendapati dua blok kondominium, “Saville@The Park - Bangsar” bersebelahan Pusat Komuniti Lembah Pantai sudah siap sepenuhnya dan mungkin bila-bila masa akan diisi penghuni.
Kompleks kediaman mewah terletak bersebelahan Kondo Rakyat yang merupakan flat kos rendah sejak tahun 1990-an itu menyerlahkan jurang ketara sosio-ekonomi antara kelompok rakyat miskin dengan kelas berpendapatan tinggi
Tidak jauh dari Pusat Komuniti Lembah Pantai itu juga terpacak papan tanda projek membina “rumah kos tinggi” sebanyak 235 unit terdiri daripada rumah sesebuah dan rumah berkembar selain rumah kelab dan kolam renang.
‘Billboard’ gergasi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kerinchi dan Jalan Pantai Permai pula menggambarkan Pantai Sentral Park sebagai projek “pembangunan yang ikonik di Bangsar South”.
Projek kediaman mewah yang dikatakan satu-satunya dikelilingi kawasan hijau di bandar raya itu dilihat mencakupi kawasan yang amat luas sehingga menghampiri rizab hutan, Taman Rimba Kerinchi dan Bukit Gasing yang termasuk dalam negeri Selangor.
Pemerhatian turut mendapati hanya tinggal Tanah Perkuburan Islam Pantai Dalam dan Surau Al Falah dikekalkan pada ketika kawasan lain saujana mata memandang sedang disiapkan bagi projek bercampur melibatkan tujuh fasa kediaman itu.
Bagi generasi kelima keturunan Abdullah Ahmad iaitu pengasas Kampung Kerinchi, Abdul Hakam Jamaluddin, 31, pembangunan rakus berkenaan dilihat semakin menggila sejak Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
“Tanah yang dimajukan sedikit pun tidak diperuntukkan untuk rakyat berpendapatan rendah yang majoritinya adalah orang Melayu. Nama Kerinchi dan Pantai Dalam pun sedang diganti dengan ‘Bangsar South’ dan ‘Pantai Sentral Park’. Surau Al-Falah yang juga surau Jumaat itu asalnya dipenuhi Jemaah.
“Malangnya, kini sudah lama kosong sebab sudah hilang kariahnya tapi dikekalkan hanya mencandukan agama untuk kepentingan pembangunan,” luahnya ketika turut serta bersama Malaysia Dateline meninjau situasi pembangunan memihak kepada golongan kaya di kawasan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.