Selasa, 30 Ogos 2016

Mengapa perlu berhabisan di luar negara?

Josiah Ng 


Mengapakah seseorang atlet perlu berlatih di luar negara? Adakah kita benar-benar perlu membelanjakan jutaan ringgit wang kerajaan untuk melahirkan atlet kelas dunia? Adakah Malaysia kekurangan kemudahan latihan asas?

Ada beberapa sebab mengapa seseorang itu dihantar berlatih atau meyertai pertandingan di luar negara perlu untuk atlet bagi kebanyakan sukan. Kecuali badminton.

Malahan pasukan terjun kita berpangkalan di China untuk beberapa tempoh dalam setahun.

Untuk menghasilkan atlet bertaraf dunia anda perlu meletakkan mereka dalam persekitaran pasukan sokongan berdaya saing serta persaingan yang akan mendorong mereka ke tahap baru.

Apabila saya memilih untuk menempatkan semula pangkalan latihan skuad elit kebangsaan 10 tahun lalu, saya memilih Australia berdasarkan 4 sebab:

1. Bakat - Di sana ada jurulatih, pelatih, ahli psikologi dan saintis sukan bertaraf dunia.

2. Pertandingan dan pesaing - Di Australia ada banyak pesaing dan pertandingan bertaraf dunia diadakan sepanjang tahun. Ia adalah satu daripada empat negara utama untuk sukan berbasikal trek. Tiga negara lain ialah Britain, Perancis dan Jerman.

3. Jarak yang berhampiran dengan Malaysia - Penerbangan terus memakan masa antara tujuh hingga lapan jam.

4. Kesesuaian lokasi - Menurut Wikipedia, Australia mempunyai 59 velodrom dengan Victoria saja mempunyai 21 velodrom. Melbourne adalah satu-satunya bandar raya di dunia memiliki dua velodrom bertaraf dunia! Untuk perbandingan, Malaysia mempunyai dua velodrom dan salah satu daripadanya tidak digunakan sejak beberapa tahun lalu, manakala satu lagi adalah velodrom terbuka dan aktiviti latihan tertakluk kepada keadaan cuaca.

Lakukan kajian ke atas setiap atlet dari dua sukan berprestasi tinggi - olahraga dan renang - anda akan dapati ramai daripada kalangan mereka berpangkalan di AS. Mengapa?

Sebab di sanalah wujudnya ekosistem untuk kedua-dua sukan berkenaan. NCAA (National Collegiate Athletic Association yang memayungi 1,281 institusi, pertubuhan dan individu berkaitan sukan di AS) menjadi tempat atlet memperoleh biasiswa tanpa mengira kewarganegaraan mereka.

Pelumba basikal kita Azizulhasni Awang kini sedang mengikuti pengajian sepenuh masa di Universiti Victoria di Melbourne.

Pentadbiran di situ memberi sokongan penuh dan bekerjasama dengan jadual latihan dan pertandinganya. Justeru dia dapat mengimbangi antara pengajian dan sukan.

Perbelanjaan tinggi

Menempatkan atlet di luar negara memerlukan perbelanjaan besar. Kerajaan kita boleh dianggarkan membelanjakan AS$100,000 setahun untuk seorang atlet bagi kemudahan penginapan, makanan, latihan dan pakar perunding.

Hanya atlet kelas dunia yang konsisten diberi peluang untuk menikmati bantuan kewangan itu. Bakat baru diberi peluang antara satu hingga tiga bulan pada sesuatu masa.

Sebagai perbandingan kos untuk menampung atlet di peringkat dalam negara adalah 20 hingga 30 peratus (lebih rendah).

Bolehkah kita menempatkan pasukan elit kebangsaan (dalam negara) tetapi masih mendapat keputusan yang sama?

Dalam sukan berbasikal trek untuk tempoh 10 tahun lalu, saya terpaksa menjawab "tidak".

Pertama, ketika ini tiada sebarang litar kayu 250 meter tertutup di Malaysia, malah di Asia Tenggara.
Kemudahan diakui dunia paling dekat berada di Perth, Australia yang memerlukan penerbangan selama empat jam dari Kuala Lumpur.

Amat penting untuk seseorang atlet berlatih di atas kemudahan (trek) yang sama seperti semasa mereka bertanding.

Bagaimana jika dibina trek tertutup 250 meter di Malaysia? Adalah selepas itu kita boleh melatih atlet di dalam negara dan mencapai keputusan sama atau lebih baik berbanding pelatih ditempatkan di luar negara?

Ia mungkin lebih berdaya maju. Tetapi anda masih perlukan kakitangan bertaraf dunia serta kekerapan pertandingan.

Kini kita memberi pendedahan antarabangsa kepada kakitangan tempatan serta peluang untuk mereka meningkatkan kemahiran.

Saya sudah nampak hasilnya. Di Rio de Janeiro sejumlah kakitangan teras kita adalah rakyat Malaysia. Mereka melakukan tugas dengan cemerlang dan wajar diberi banyak pujian dengan kejayaan memperoleh pingat gangsa.

Malah sejumlah jurulatih - sebahagian daripada mereka adalah rakan sepasukan saya - begitu cemerlang. Mereka bertanggungjawab untuk projek pembangunan bakat-bakat baru.

Saya percaya dalam tempoh lima tahun akan datang, kita akan mempunyai bakat sukan 100 peratus dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia.

#MalaysiaBoleh

JOSIAH NG bekas atlet berbasikal negara dan salah seorang pelumba profesional dikenali di peringkat dunia. Dia bersara pada 2015 ketika berusia 35 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.