Isnin, 1 Ogos 2016

Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bincang cadangan tanaman komersil Ketum

BERNAMA
 
 
Pokok ketum jika ditanam meluas dibimbangi mendatangkan lebih banyak kemudaratan dalam kalangan masyarakat daripada keuntungan komersial.Pokok ketum jika ditanam meluas dibimbangi mendatangkan lebih banyak kemudaratan dalam kalangan masyarakat daripada keuntungan komersial.

Majlis Fatwa Kebangsaan diminta mengadakan perbincangan bersama pakar perubatan serta pemimpin masyarakat mengenai penanaman ketum berskala besar di negara ini, yang dicadangkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata cadangan tersebut dilihat agak sensitif dan boleh menimbulkan kontroversi.

"Sekiranya pokok ketum ditanam secara meluas di negara ini, ia dibimbangi mendatangkan lebih banyak kemudaratan dalam kalangan masyarakat daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak.

"Diharap kerajaan dan pihak berkaitan akan memperhalusi cadangan berkenaan supaya ia tidak disalahguna segelintir pihak terutamanya generasi muda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Perak serta Lembaga PPK Perak hari ini, yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad Zainuddin berkata terdapat banyak tanaman lain yang boleh ditanam dalam kawasan kebun getah untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

"Sebagai contoh, mereka boleh menanam pokok petai atau durian belanda yang dipercayai boleh mengubati penyakit," katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin ingin mendapatkan kebenaran kerajaan untuk melaksanakan projek penanaman daun ketum secara berskala besar bagi memenuhi industri farmaseutikal dari negara luar.

Zahidi berkata penanaman ketum sebagai alternatif bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil di negara ini, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap getah disebabkan harga komoditi itu menurun ketika ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.