MALAYSIAKINI
Untuk memahami dan melihat sendiri masalah pengguna jalan raya
terutama penunggang motosikal Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof
hari ini menjadi sebahagian daripada mereka - membonceng motosikal
bersebelahan Lebuhraya Persekutuan.
Bermula dari bawah Stesen LRT Universiti di pinggir Kuala Lumpur
beliau menyurusi laluan motosikal ke Batu Tiga Shah Alam bersama
sejumlah pengiring terdiri daripada pegawai Jabatan Kerja Raya.
Turut menyertai lawatan turun padang itu, pegawai Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).
Berdasarkan penelitian dibuat Fadillah berkata ada beberapa isu yang perlukan perhatian.
Antaranya, kata beliau, keadaan laluan yang terlalu sempit, selekoh
tajam, laluan keluar atau masuk yang tidak sesuai serta ancaman bahaya
dari tapak projek berhampiran.
Turut
mendapat perhatian menteri, keadaan terowong yang agak gelap serta
belukar yang boleh dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk
mengancam pengguna laluan berkenaan.
Bagaimanapun Fadillah mengingatkan ada kekangan untuk kerajaan mengatasi masalah itu segera.
Misalnya, kata beliau, tiada ruang mencukupi untuk pembesaran laluan,
manakala isu jalan berlubang mungkin berulang selepas ia diturap.
"Diharap pengguna lebuh raya dapat bersabar untuk sementara dan
patuhi peraturan serta had kelajuan di tempat yang berkenaan," katanya
kepada media.
Sebelum ini Malaysiakini pernah menyiarkan keluhan pengguna laluan motosikal di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang berdepan pelbagai masalah.
Biasanya akan menyebabkan kemalangan, antara isu yang sering dihadapi
mereka ialah jalan tidak diturap dengan rata, papan tanda ditutup
pelbagai iklan, terowong gelap dan yang paling parah, tiada pemantauan
penguat kuasa pada waktu malam sehingga mereka terdedah kepada risiko
kena samun.
Turut diadukan, pembahagi jalan tidak dicat dengan betul sehingga mengelirukan pengguna.
Fadillah berkata usaha menambah baik laluan motosikal adalah proses
berterusan dan kerajaan sentiasa memandang berat maklum balas pengguna.
Beliau juga menyatakan sebarang aduan mengenai kerosakan jalan raya
boleh disalurkan melalui aplikasi “Aduan Jalan KKR” yang dilancarkan
pada Mac tahun lalu.
"Setakat ini sudah ada kira-kira 5,000 pengguna berdaftar aplikasi ini," katanya.
Aplikasi itu membolehkan pengguna menghantar pelbagai butiran masalah yang dikesan, termasuk lokasi dan gambar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.