BUTTERWORTH: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta ibu
bapa agar tidak mengheret anak-anak mereka atau pelajar sekolah
menyertai perhimpunan haram.
Menurutnya, pelajar sekolah tidak akan hadir secara bersendirian ke
tempat seperti itu kerana kebiasaannya mereka dibawa ibu bapa atau
penjaga.
"Kalau boleh pelajar sekolah ini kita elakkanlah hadir ke tempat
seumpama itu...sebab nawaitu penganjuran (perhimpunan) itu sendiri pun
dah tak berapa elok.
"Eloklah kalau kita elakkan tempat seumpama itu," katanya dalam sidang
akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Batu
Kawan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pelajar sekolah turut
terlibat dalam perhimpunan haram anti kerajaan di ibu negara semalam.
Mahdzir berkata beliau tidak mendapat maklumat berhubung penglibatan pelajar sekolah dalam perhimpunan haram itu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu turut menasihatkan mahasiswa untuk tidak turut serta dalam sebarang perhimpunan haram.
"Kita pun pernah jadi mahasiswa. Kita pun nak yang paling ideal. Kita
takkan dapat yang idealis. Jadi, kita carilah benda yang praktikal. Tak
payahlah buat sesuatu yang menyusahkan masyarakat dan ibu bapa.
"Buatlah benda-benda yang memberi kesan yang positif kepada kehidupan
dan proses pembelajaran kita. Akhirnya nanti kita akan keluar universiti
dan akan pergi kepada masyarakat. Sampai bila nak jadi aktivis
masyarakat, tak kahwin, tak cari makan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.