Ahad, 28 Ogos 2016

Diskriminasi pengambilan pekerja tempatan di pasar raya

MALAYSIA GAZETTE


Pekerja asing didakwa mudah mendapat kerja di pasar-pasar raya milik tempatan. Gambar hiasan
 Pekerja asing didakwa mudah mendapat kerja di pasar-pasar raya milik tempatan. Gambar hiasan


Agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam mengawal kemasukan pekerja asing diminta menyiasat tindakan segelintir pemilik-pemilik pasar raya yang lebih mengutamakan pengambilan pekerja luar berbanding rakyat tempatan.

Diskriminasi pemilik-pemilik pasar raya yang memilih untuk mengambil pekerja asing menyebabkan rakyat tempatan sukar bersaing untuk mendapat pekerjaan.

Seorang pekerja pasar raya di Pandan memberitahu, pasar raya tempatnya bekerja memilih untuk mengambil pekerja asing meskipun ramai tempatan yang mengisi borang untuk memohon
bekerja.Diskriminasi terhadap pekerja tempatan dakwanya menyebabkan rangkaian pasar raya itu 'dikuasai' oleh pekerja asing.

"Memang ramai orang kita yang datang minta kerja di sini tetapi majikan lebih memilih untuk mengambil pekerja Bangladesh atau Myanmar.

"Kalau mamat-mamat Bangladesh atau Myanmar boleh berbahasa Melayu lagi mudah mereka dapat pekerjaan," katanya ketika ditemui di sini.

Pekerja yang berasal dari Kuala Selangor itu menafikan gaji yang rendah serta ketekunan warga asing bekerja menyebabkan golongan itu mudah mendapat kerja.

Ini kerana, dari segi gaji ditawarkan lebih kurang sama dan waktu bekerja mengikut jadual yang ditetapkan.
Malah, katanya, ada juga pekerja asing yang sudah pandai 'besar kepala' kerana mereka sudah lama di sini dan tahu pasaran kerja buat mereka lebih mudah.

Tambah pemuda itu, pengambilan pekerja asing yang banyak di pasar-pasar raya itu menyebabkan pekerja tempatan turut rasa terpinggir.

"Sudah tentu kami rasa begitu sebab tempat pekerja tempatan ini sekadar sebagai pemotong ayam, daging atau pengupas buah durian. Itu bagi pekerja lelaki. Kalau perempuan sebagai tukang timbang barang.

"Ini pun kebetulan kerana majikan tahu sensitiviti pembeli tempatan, jika perkara itu tidak diambil kira mungkin langsung tidak ada pekerja tempatan.

"Jawatan juruwang, penimbang dan pembantu am semuanya 'disapu' oleh pekerja asing," katanya sambil mendakwa pengambilan pekerja asing banyak berlaku di pasar-pasar raya milik usahawan tempatan.

"Jika dibandingkan dengan Giant, Tecso dan Aeon Big mungkin berkurangan kerana syarikat-syarikat itu masih mendahului pekerja tempatan," tambah beliau. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.