MALAYSIAKINI
"Saya terdengar bunyi dentuman kuat beberapa kali sebelum melihat serpihan besi pencangkuk kren terjatuh dan menghempap kereta Perodua Kelisa di depan saya", demikian menurut
seorang saksi kejadian seorang pemandu wanita yang maut akibat dihempap
besi kren di Jalan Raja Chulan, di ibunegara malam tadi.
Pemandu yang hanya mahu dikenali sebagai Elizabeth, 34, berkata ketika
kejadian beliau sedang memandu selang beberapa kenderaan di belakang
kereta mangsa dan sempat mengelak dari turut terlibat dalam insiden pada
7.20 malam itu.
"Saya nampak orang ramai bertempiaran lari dan menyelamatkan diri
melihat sebahagian besi kren jatuh dan menghempap kereta Kelisa itu,"
katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian malam tadi.
Beliau berkata pemandu lain sempat mengelak dan menyelamatkan diri
masing-masing, namun pemandu Kelisa tersebut tidak sempat menyelamatkan
diri kerana kejadian berlaku begitu pantas.
Sementara itu, seorang penunggang motosikal Hafiz Zakwan, 29 yang turut
menggunakan laluan itu, memanjatkan kesyukuran kerana tidak terlibat
dalam kejadian malang tersebut.
"Saya berharap pihak pengurusan pembinaan ini akan lebih berhati-hati
dan mengutamakan keselamatan semasa melakukan kerja pembinaan," katanya.
Dalam kejadian 7.20 malam tadi, mangsa Chim Khoo Sing, 24, berasal dari
Pulau Pinang maut akibat dihempap serpihan besi kren seberat 1,000
kilogram yang jatuh dari tingkat 20 bangunan hotel yang sedang dalam
pembinaan di Jalan Raja Chulan itu.
Menurut polis mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tengkuk, dada dan rusuk kanan.
Wanita berkenaan yang berpakaian pejabat itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes
disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.