Jumaat, 1 Julai 2016

Zaman Umno Keturunan dan Perjuangan Sudah Berlalu




MOHON keizinan membuat satu lagi catatan peribadi yang sedikit sebanyak mencerminkan pergolakan politik tanah air kita dan pilihan yang wajib kita lakukan demi kelangsungan (survival) Malaysia.


Hari ini, 29 Jun 2016 genaplah setahun saya menarik diri secara rasmi daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau nama Inggerisnya United Malays National Organisation (Umno).


Saya keluar hampir setahun lebih awal daripada bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menarik diri pada awal Mac lalu dan pembuangan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 24 Jun.


Saya menjadi ahli berkartu (card-carrying member) Umno lebih tiga dekad. Saya lahir dan membesar dalam keluarga Umno. Arwah ayah saya menyertai Umno sejak penubuhannya pada tahun 1946 dan pernah menjadi ahli jawatankuasa bahagian.

Umno bukan Umno saya lagi


Tetapi menjelang pertengahan tahun lepas, saya berasa amat yakin dengan kata-kata ayah saya sebelum dia meninggal dunia tujuh tahun lalu. Katanya: “Umno hari ini bukan Umno aku lagi.”

Tidak berapa lama sebelum dia meninggal, dia juga memberhentikan langganan Utusan Malaysia. Utusan Melayu (jawi) dan kemudiannya Utusan Malaysia adalah bacaan wajib keluarga kami.

Alasan pemberhentian langganan Utusan Malaysia adalah ia “bukan surat khabar aku lagi.” Dia membaca Berita Harian sebagai pilihan kedua hanyalah ketika saya menjadi pengarangnya.

Kopi, rokok dan Utusan Melayu/Utusan Malaysia adalah permulaan harinya untuk berpuluh tahun lamanya. Dia berhenti merokok dan membaca Utusan, tetapi terus meminum kopi. Dia juga tidak keluar Umno secara rasmi seperti saya.

Melayu dan Umno

 

Ramai orang Melayu menjadi ahli Umno kerana talian sejarah. Bagi mereka Umno adalah parti keturunan. Merekalah ahli sebenar (tulen/original) Umno. 

Mereka menjadi ahli kerana altruisme. Mereka tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Bagi mereka, Umno adalah parti merdeka, parti pembela bangsa dan parti yang membawa pembangunan.

Hari ini, ramai ahli Umno adalah ahli rekrut. Ahli yang diheret masuk hinggakan ada yang tidak tahu pun yang mereka ahli Umno. Nama mereka didaftarkan oleh Ketua Cawangan dan yuran dibayar bagi pihak mereka.

Bilangan ahli keturunan semakin hari semakin kecil. Secara literal, Umno mati bersama kematian mereka. Boleh kata semua pendukung Umno dari generasi ayah saya sudah tidak ada lagi.

Ayah saya mewajibkan anak-anaknya balik mengundi menggunakan “petua” (“fatwa”) derhaka kalau tidak balik mengundi. Tapi pada Pilihan Raya Umum 2008, dia tidak mengeluarkan lagi petua itu. 

Adik saya yang tugasnya membawa ibu dan ayah saya mengundi memberitahu mereka tidak keluar mengundi pada pilihan raya Umum 2013.

Sejak beberapa hari lalu, berikutan pembuangan Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, ramai bertanya pendapat saya mengenai kalau mereka juga perlu keluar Umno.

Saya kata, saya mungkin bukan orang paling sesuai menjawabnya kerana saya tidak berkecuali. Saya tidak berkecuali kerana saya telah mendahului mereka keluar Umno. Sentimen saya diwarnai oleh tindakan itu.

Biar Najib Tahu

Cuma saya kata, kalau hendak keluar eloklah buat secara rasmi macam saya buat supaya Presiden Umno, Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone, Mohd Najib Abdul Razak, tahu.

Biar Mohd Najib tahu kita keluar Umno. Dia tak peduli tak apa.

Saya mengutus surat penarikan diri kepada Ketua Cawangan saya dengan salinan kepada Ketua Bahagian dan Setiausaha Kerja Umno Malaysia.
Saya nyatakan sebab-sebab saya tarik diri. Antaranya saya tidak dapat lagi menerima kepemimpinan Umno yang dikepalai Mohd Najib dan kalau saya kekal pun, saya akan menjadi duri dalam daging dengan kritikan-kritikan saya.

Dalam kes saya, Setiausaha Kerja Umno pusat, Datuk Rauf Yusoh mengesahkan penarikan diri saya dan mengucapkan terima kasih atas sumbangan saya kepada parti selama ini.

Saya kata lagi, mereka (Muhyiddin dan Mukhriz) boleh kembali semula ke pangkuan Umno jika keadaan berubah mengikut apa yang mereka idamkan.

Buat saat ini, apa yang boleh saya katakan adalah amat menyedihkan bahawa Umno yang berjaya memperbaiki kehidupan generasi ayah saya dan mengangkat generasi saya menjadi warga kelas menengah kini tidak lagi mampu menjamin kehidupan generasi anak dan cucu saya.  

Bagi saya, era Umno sudah berlalu. Begitu juga PAS. Cara Umno dan PAS mengepung dan mengandangkan orang Melayu-Islam dengan menggembar-gemburkan sentimen bangsa dan agama tidak boleh diterima lagi.

Jika diteruskan ia akan mengepung orang Melayu-Islam dalam penjara minda yang semakin hari semakin sempit, mundur, jumud, tidak bertoleransi dan anti-kemajuan.

Kita perlu tabur angin perubahan supaya kita boleh melayari ombak perubahan.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.