Ahad, 31 Julai 2016

Tindakan batal PRN mengejut bukti DAP tak buat keputusan sendiri - Amanah

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan DAP Pulau Pinang membatalkan hasrat untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut menunjukkan parti itu tidak bertindak sendirian, demikian menurut Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
 
"Amanah Pulau Pinang menganggap pengumuman Ketua Menteri bahawa tiada pilihanraya negeri mengejut adalah tanda komitmen DAP yang berjanji bahawa ia tidak akan mengumumkan PRN secara unilateral tanpa konsensus dari kedua-dua lagi rakannya," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
 
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada hari ini mengumumkan kerajaan negeri tidak akan meneruskan PRN selepas tidak mendapat persetujuan dari rakan komponennya, PKR.
 
Pendirian PKR itu disampaikan melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas parti itu sebelum ini mengambil pendirian tidak yakin dengan cadangan mengadakan pilihan raya berkenaan.
 
Sehubungan itu Guan Eng mengadakan rundingan bersama pimpinan DAP dan sepakat bahawa PRN itu tidak akan diteruskan.
 
Sebelum ini Guan Eng memaklumkan hasrat DAP mengadakan PRN mengejut disokong oleh Amanah.
 
Sementara itu Amanah membidas sikap PAS yang memperlekehkan sokongannya terhadap cadangan DAP, sementelah ia merupakan sebuah parti baru yang diserap masuk ke dalam Pakatan Harapan (PH).
 
"Amanah juga mengambil serius semasa proses perundingan berlaku bahawa ada sesetengah pihak yang memandang rendah keberadaan Parti Amanah dalam suasana parti kami berhadapan dengan berbagai 'serangan' dan 'ugutan' dari PAS.
 
"Amanah mengharapkan tiada lagi sindiran sinis kononnya Amanah parti baharu kerana masa untuk persediaan PRU masih ada dan segala pandangan sinis ini perlu diselesaikan untuk PH menjadi kukoh termasuk hubungan dengan parti PAS," tegas Mujahid lagi.
 
Sebelum ini, DAP berkeras mahu mengadakan PRN selepas Guan Eng terpalit tuduhan rasuah, apabila cuba menukar status tanah (zon pertanian kepada zon komersil) dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran di Jalan Pinhorn, George Town.  
 
DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi dengan DAP menguasai 19 kerusi, PKR 10, Barisan Nasional (BN) 10 dan PAS 1.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.