Ahad, 31 Julai 2016

Sudah 10 tahun menongkah arus

Datuk Hussamuddin Yaacub
Datuk Hussamuddin Yaacub
 

TELUS dan Tulus. Itulah slogan ditampilkan Sinar Harian yang cukup dikenali sebagai akhbar yang neutral dan tidak berpihak. Selain itu, konsep komuniti yang ditampilkan membuatkan akhbar ini begitu dekat dengan masyarakat. Sempena 10 tahun Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub selaku Penerbit Sinar Harian berkongsi cabaran dari awal penerbitan akhbar yang dicetuskan hasil idea beliau ini. Hussamuddin turut melahirkan harapan agar Sinar Harian kekal relevan dan menjadi pilihan pembaca yang mahukan laporan berita komprehensif. Ikuti wawancara beliau bersama wartawan, SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR dan juru foto, ROSLI TALIB.

Boleh kongsikan bagaimana timbulnya idea untuk menerbitkan Sinar Harian?

Ketika itu, saya melihat seperti ada satu 'vakum'. Politik di Malaysia bertambah panas dengan gerakan pembangkang yang semakin kuat. Pada waktu itu, media sosial belum ada lagi. Media arus perdana yang ada pula sangat partisan. Semua berita di dalamnya tak beri peluang langsung kepada pembangkang. Begitu juga surat khabar yang dimiliki pembangkang sendiri seperti Harakah, Suara Keadilan dan RoketKini sangat partisan dan memihak sebelah pihak. Jadi sebagai seorang ahli perniagaan, saya nampak ada peluang jika saya boleh keluarkan sebuah surat khabar yang memberi ruang kepada semua pihak, sama ada pemerintah atau pembangkang dan juga rakyat. Dari situlah timbulnya idea untuk terbitkan Sinar Harian yang membawa suara komuniti. Maknanya kita nak beri peluang kepada semua orang untuk bercakap.

Bagaimana Datuk begitu yakin dengan idea ini sedangkan ketika itu, media tidak begitu bebas?

Ya, ketika itu kebebasan akhbar belum begitu bebas seperti sekarang. Pada zaman Tun Mahathir (bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad), Karangkraf ada menerbitkan beberapa akhbar seperti Watan dan Eksklusif. Malah ketika itu, kedua-dua akhbar ini sudah beri peluang kepada pembangkang untuk bersuara. Namun, disebabkan itu akhbar Watan beberapa kali disekat, manakala Eksklusif terpaksa ditutup tetapi sejak zaman Pak Lah (bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi) dah mula ada kebebasan. Jadi, dengan peluang itu kita mulakan Sinar Harian.

Mengapa memilih Kelantan sebagai permulaan akhbar ini?

Kita mula di Kelantan kerana saya berasal dari sana. Saya mahu mulakan Sinar Harian di kawasan yang saya rasa selamat. Maklumlah nak terbitkan surat khabar ini memerlukan pelaburan amat besar. Jadi, saya cuba di kawasan yang kosnya lebih rendah. Kita beli tanah, kilang, mesin dan himpunkan pasukan di Kelantan, dan buat surat khabar untuk orang pantai timur dulu.

Apakah keistimewaan Sinar Harian?

Keistimewaan Sinar Harian ialah kita beri peluang kepada semua rakyat Malaysia. Jika media lain bercerita tentang pemimpin sahaja, di Sinar Harian kita bawa suara rakyat. Kita tonjolkan pemimpin peringkat bawahan seperti daerah, kampung, sekolah. Kita juga wujudkan Skuad Cakna di setiap daerah, di mana wartawan bergerak dan dibekalkan dengan telefon bimbit, kamera dan kereta Perodua Kancil. Menariknya, di setiap kereta itu diletakkan nama skuad dan nombor telefon bagi memudahkan masyarakat menghubungi jika ada isu atau aktiviti menarik yang ingin dikongsi.

Apakah cabaran di awal penerbitan?

Kita sebenarnya mendahului zaman. Dari hari pertama Sinar Harian diterbitkan lagi, kita dah ‘meletup’ dengan jualan 40,000 naskhah di Kelantan sahaja. Sinar Harian menjadi fenomena dan mendapat sambutan menggalakkan kerana kelainan ditampilkan. Namun, kita juga tidak terlepas daripada cabaran. Di pihak kerajaan dan pembangkang, kedua-duanya rasa was-was dengan pembaharuan yang kita bawa ini. Mereka bertanya, betul ke (pendekatan) surat khabar ini? Bagi pihak kerajaan, mereka rasa kita surat khabar pembangkang. Begitu juga sebaliknya. Misalnya, ketika diterbitkan di Kelantan, kerajaan Pas merasakan tidak boleh beri peluang kepada Umno. Umno pula sebagai pemerintah Kerajaan Persekutuan rasa mengapa perlu beri kebebasan kepada Pas. Mereka masih belum biasa dengan cara kita yang duduk di tengah-tengah. Ia bagaikan satu kejutan kepada pemimpin, tetapi pembaca dalam kalangan rakyat suka konsep kita ini.

Bagaimana penerimaan pembaca?

Saya rasa orang dah boleh terima Sinar Harian sebagai surat khabar neutral dan kita tidak memihak. Cerita daripada semua pihak kita siarkan. Namun, sekarang seiring kebebasan akhbar, pendekatan Sinar Harian sudah mula jadi ikutan kebanyakan media. Bezanya dengan Sinar Harian ialah kita tidak spin berita tetapi kita laporkannya telus.

Orang ramai juga sudah menerima Sinar Harian sebagai organisasi yang meraikan semua pendapat. Jadi mereka datang kepada kita supaya pendapat mereka diketengahkan. Semua orang rasa selamat dengan Sinar Harian. Kita beri tempat yang adil kepada semua pihak. Jika ada terpalit dengan isu kontroversi atau negatif, kita akan beri peluang kepada mereka untuk jawab. Selain itu, kita juga seimbangkan berita dengan jawapan atau hujah yang boleh memberi peluang kepada pembaca untuk menilai siapa betul dan siapa salah. Dengan pendirian ini, mereka hormat kita dan berharap kita kekalkan peranan ini.

Formula kejayaan Sinar Harian?

Sinar Harian adalah suara akar umbi. Jadi, bila kita bermula sebagai suara akar umbi, rakyat boleh relate dengan kita. Mereka rasa dekat dengan Sinar Harian. Dahulu kebiasaannya wartawan akan buat liputan kejadian besar atau laporan mengenai pemimpin. Namun, dengan kemunculan Sinar Harian (kita) beri peluang (kepada) semua orang dan kita bawa masalah rakyat ke tengah. Misalnya di Kelantan tempat Sinar Harian bermula, orang lebih yakin dengan wartawan kita daripada wakil rakyat. Apabila ada masalah, contoh jalan rosak, kita siarkan dan esok pihak berkuasa tempatan terus ambil tindakan. Jadi hubungan Sinar Harian dengan rakyat sangat dekat.

Pengalaman tidak dapat dilupakan?

Bagi saya, semuanya pengalaman yang menyeronokkan. Pada hari pertama lagi Sinar Harian sudah mendapat sambutan. Ke mana-mana saja pergi, Sinar Harian jadi sebutan. Saya dapat laporan di sesetengah tempat, sidang akhbar tidak akan dimulakan selagi wartawan Sinar Harian belum sampai. Paling saya seronok  apabila ada menganggap Sinar Harian satu-satunya akhbar memiliki kredibiliti.

Perancangan masa depan akhbar ini?

Sekarang Sinar Harian sudah berkembang ke medium lain seperti Sinar Online, Sinar TV dan media sosial. Kita harap mutu pemberitaan dan penulisan dapat dipertingkatkan lagi. Sinar Harian boleh dianggap masih baharu berbanding surat khabar lain, ada yang berpuluh-puluh dan beratus-ratus tahun. Malah ketika baru bermula, kita semua masih fresh dan kurang pengalaman. Jadi untuk melatih ini ambil masa.

Ucapan untuk pembaca setia Sinar Harian.

Saya ucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada pembaca serta semua yang menyokong dan yakin dengan Sinar Harian. Percayalah, Sinar Harian tidak akan mengkhianati sesiapa. Peranan kita adalah menyampaikan kebenaran. Kita bukan hakim, sebaliknya kita menyerahkan kepada pembaca untuk menilai.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.