SUNGAI PETANI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
akan menyekat rakaman video ciptaan Namewee sekiranya terbukti menyentuh
sensitiviti masyarakat Malaysia.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari,
berkata pihaknya akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi
teknikal selepas siasatan dilakukan ke atas pengarah dan pemuzik
kontroversi, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 33.
"Buat masa sekarang, biarlah polis menjalankan siasatan dulu dan
sekiranya terbukti wujud elemen menghina mana-mana agama, kita (SKMM)
akan membantu mengambil tindakan lanjut.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang
menyalahgunakan kemudahan internet hingga menimbulkan ketidakselesaan
dikalangan masyarakat," katanya pada sidang media selepas Majlis
Perasmian Pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Kebangsaan 2016 di
UiTM Cawangan Merbok, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang
membuat laporan polis berhubungan rakaman video yang didakwa menyentuh
sensitiviti masyarakat Malaysia.
Dalam rakaman video berdurasi empat minit itu, Namewee dilihat menyanyi
dan menari di beberapa rumah ibadah di sekitar negeri ini, termasuk
didakwa masuk ke ruang solat masjid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.