GEORGE TOWN: ADUN Seri Delima, RSN Rayer dibebaskan daripada tuduhan
mengasut berhubung kenyataan 'Umno celaka' yang dikeluarkannya dua tahun
lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Ibrahim Osman berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Rayer.
Ibrahim berkata mahkamah tidak diyakinkan bahawa kenyataan Rayer itu
berbentuk hasutan, justeru ia dilindungi oleh kekebalan seorang wakil
rakyat.
"Mahkamah mendapati bahawa ucapan tertuduh tidak merujuk mana-mana kaum
atau segolongan orang malah secara jelas hanya merujuk kepada
individu-individu secara spesifik iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina
Merican dan Datuk Shabudin Yahaya.
"Umno adalah sebuah parti politik yang didaftarkan di bawah Akta
Pertubuhan sama seperti pertubuhan lain seperti DAP, PAS, PKR dan
lain-lain.
"Kenyataan terhadap sesebuah parti politik itu tidak boleh disifatkan
sebagai perkataan kepada sesuatu kaum tertentu atau golongan yang
tertentu.
"Mahkamah berpandangan bahawa kenyataan terhadap sesuatu kaum mestilah
jelas ataupun tersurat bukannya secara tersirat. Jika mahkamah ini
menerima sesebuah parti politik sebagai khusus untuk kaum yang tertentu
sahaja, perkara sedemikian sudah tentu akan memberi kesan negatif dan
boleh membawa implikasi yang tidak sihat," katanya.
Pada 27 Ogos 2014, Rayer mengaku tidak bersalah atas pertuduhan
menyebut kata-kata menghasut itu ketika sesi perbahasan di dalam DUN
Pulau Pinang, pada pukul 9.30 pagi, 20 Mei 2014.
Wakil rakyat itu menghadapi pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen
4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta
sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara
tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim dan Farah
Aimy Zainul Anwar manakala Rayer diwakili oleh barisan peguam diketuai
Gobind Singh Deo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.