Selasa, 26 Julai 2016

PRN Pulau Pinang peluang keemasan BN - Penganalisis

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang dicadangkan DAP menjadi kenyataan, ia merupakan peluang keemasan kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali negeri itu daripada pembangkang. 
 
Penganalisis Politik, Edwin Michael berpendapat, DAP akan kehilangan sokongan orang Melayu berdasarkan permusuhan dengan PAS, dan hanya mengharapkan Amanah bagi meraih undi kaum berkenaan.
 
Apatah lagi DAP juga sudah dilabel sebagai anti-Islam apabila menolak Rang Undang-Undang (RUU) persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Sri Abdul Hadi Awang, ujar beliau.
 
"Sebelum ini pada pilihan raya yang lepas DAP dan PAS mempunyai persefahaman jadi banyak undi-undi terutama undi orang Melayu pergi kepada DAP tapi sekarang DAP dilabel sebagai anti Melayu, anti Islam dalam isu-isu yang melibatkan hudud dan sebagainya.
 
"Undi Melayu kali ini akan kepada siapa memandangkan kita ada PAS, DAP dan kita juga Amanah. Siapa yang akan dapat undi-undi Melayu ini dan sebab itu saya katakan ini satu peluang keemasan untuk BN meraih kembali undi-undi Melayu yang sebelum ini semua lari kepada  pembangkang," katanya ketika dihubungi Antarapos, di sini hari ini.
 
Tambah Edwin lagi, dengan faktor keadaan pembangkang yang dilihat tidak sepakat, tidak mustahil Pulau Pinang akan kembali kepada BN sekiranya PRN diadakan. 
 
"Keadaan pembangkang sekarang dilihat agak kelam kabut kerana daripada awal lagi jika kita lihat pada Pilihan Raya parlimen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dan sampai sekarang isu pembangkang masih lagi belum diselesaikan.
 
"Isu pembangkang yang saya maksudkan adalah isu-isu melibatkan DAP dan juga PAS. Selagi tidak ada kesefahaman antara mereka atau erti kata lain 'gencatan politik' selagi itu pembangkang akan jadi sangat kelam kabut kerana mereka tidak ada satu arah tuju yang konsisten," katanya lagi.
 
Edwin juga tidak menolak bahawa faktor-faktor berkenaan menjadi antara sebab mengapa PKR masih belum memberikan persetujuan terhadap cadangan DAP itu. 
 
"Ini sebenarnya bukanlah masa yang sesuai untuk adakan PRN di Pulau Pinang dan sebab itu kita boleh lihat PKR teragak-agak untuk bersetuju dengan cadangan Lim Guan Eng ini.
 
"Dalam isu ini juga Lim Guan Eng mengambil mudah menganggap bahawa DAP boleh menang sapu bersih kerusi sekiranya bertanding di PRN dan menang dengan majoriti yang lebih besar kerana keyakinannya," ujarnya.
 
Setakat ini, kerajaan DAP Pulau Pinang hanya menunggu jawapan daripada PKR, selepas Amanah menyatakan sokongan terhadap cadangan mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu.
 
Parti pimpinan Mohamad Sabu itu telah menyatakan persetujuan untuk bertanding pada pilihan raya negeri berkenaan sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.  
 
PKR akan bermesyuarat pada malam ini bersabit cadangan pilihan raya mengejut berkenaan.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.