KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lagi suspek dipercayai terbabit
dalam kes pembunuhan Datin Wong Siew Ling yang ditembak mati di Jalan
Hujan Emas 4, Taman OUG Jalan Klang Lama awal bulan ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata pekerja
kilang berusia 29 tahun itu ditahan di Tampoi, Johor, Sabtu lalu dan
direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
Penangkapan lelaki itu menjadikan sembilan suspek ditahan setakat ini
dan polis sedang giat memburu seorang lagi suspek yang dipercayai masih
bebas.
"Reman terhadap lapan suspek yang ditahan sebelum ini tamat hari ini
dan kita akan mohon untuk melanjutkan tempoh reman mereka," katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, polis menahan dalang utama kes, sepasang suami isteri ahli
perniagaan kerana dipercayai merancang pembunuhan itu dan turut
dikatakan mengupah dua pembunuh upahan terdiri ahli kongsi gelap
sebanyak RM60,000.
Enam lagi yang ditahan membabitkan sepasang suami isteri yang dikatakan
berperanan sebagai orang tengah, dua pembunuh upahan serta dua lagi
individu yang secara tidak langsung merancang pembunuhan itu.
Semua suspek yang berusia antara 26 hingga 54 tahun itu ditahan dalam
beberapa siri tangkapan bermula 19 Julai lalu di sekitar Kuala Lumpur
dan Perak.
Satuk pistol jenis Glock 19 bersama satu kelopak peluru yang
disembunyikan dalam sebuah kereta di Chemor, Perak, turut dirampas. Kes
berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan
membunuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.