MALAYSIAKINI
Dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa 1MDB banyak
menyumbang kepada kebajikan sosial hanya "sandiwara" kerana semua itu
dibiayai oleh oleh pembayar cukai, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya
Utara, Tony Pua.
Najib semalam memuji Yayasan 1MDB kerana menderma RM10.4 juta untuk menaja 1,100 jemaah untuk menunaikan haji tahun ini.
Malah, Pua berkata, Yayasan 1MDB ditubuhkan dengan bertopeng untuk
menutup kerugian berbilion ringgit hasil aktiviti pengubahan wang haram
di peringkat antarabangsa.
Katanya, 1MDB tidak menyaksikan keuntungan walaupun satu sen sejak
ditubuhkan enam tahun lalu, dan menggunakan program "kebajikan sosial"
sebagai "usaha perhubungan awam".
"Oleh itu, kami gesa perdana menteri berhenti memberi gambaran palsu mengenai 1MDB.
"Usaha perhubungan awam ini ditakdirkan akan gagal kerana fakta-fakta
dan bukti penyelewengan bernilai berbilion dolar dari 1MDB adalah jelas
untuk dilihat oleh semua," kata Pua dalam satu kenyataan lewat semalam.
"Lebih baik Najib menjelaskan mengapa beliau mengambil AS$731 juta
dari 1MDB dan mengapa dirinya membenarkan anak tirinya, Riza Aziz dan
rakan akrabnya, Low Taek Jho, untuk menyamun 1MDB bagi membeli hartanah
mewah, membayar hutang judi , memperoleh pesawat, mengumpul karya-karya
seni dan membiayai gaya hidup dekaden mereka "
Pua berkata adalah ironi juga bahawa Najib berdegar-degar dengan
tajaan RM10.4 juta untuk jemaah haji sedangkan Tabung Haji dikritik
kerana membeli tanah 1MDB.
Tabung Haji membeli 0.64 ekar tanah di TRX di Kuala Lumpur pada harga
RM188.5 juta atau kira-kira RM2,774 setiap kaki persegi pada 2015,
sedangkan kerajaan menjual tanah berkenaan kepada 1MDB pada hanya harga
RM64 sekaki persegi, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.