MALAYSIAKINI
PAS akan meletakkan calon di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) di Pulau Pinang sekiranya pilihan raya mengejut diadakan di negeri
itu.
Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata walaupun akan
bertanding secara bersendirian, PAS mempunyai kekuatan dan mendapat
sokongan di negeri itu yang boleh membantu calon parti untuk menang.
"Kita (PAS) ada kekuatan di negeri itu kerana sejarah penubuhan parti
ini di Pulau Pinang. DAP dan PKR perlu sedar mereka bergantung kepada
akar umbi kita (PAS) untuk menang pada pilihan raya umum (ke-13) lalu,"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada PAS
akan bertanding dalam pilihan raya negeri itu sekiranya diadakan semasa
ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kompleks PAS
Kedah, Kota Sarang Semut hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata PAS tidak menolak untuk
berkerjasama dengan parti baharu yang bakal ditubuhkan bekas Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya parti itu nanti tidak lari
daripada matlamat dan perjuangan Islam.
Katanya PAS sebelum ini telah mengambil kesempatan untuk bekerjasama
dengan semua pihak dengan syarat parti itu tidak mengganggu dasar Islam
yang dibawa oleh PAS sejak awal penubuhannya.
"Kita (PAS) tidak ganggu dasar yang dibawa DAP dan mereka yang ganggu
dasar PAS, kita bertegas dengan perkara ini dan akhirnya mereka (DAP)
keluar daripada Pakatan Rakyat yang turut disertai PKR.
"PAS hari ini terus konsisten dengan dasar yang diperjuangkan sejak
dahulu lagi. Blok ketiga yang diwujudkan oleh PAS, telah berkerjasama
dengan lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah parti
politik," kata Abdul Hadi.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.