PADANG BESAR: Ketum berpotensi menyumbang pendapatan berbilion ringgit
kepada negara, kata Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil
Perusahaan Getah (Risda), Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Beliau berkata, cadangan penanaman ketum secara terkawal yang
dikemukakannya lebih kepada tujuan eksport kerana terdapat permintaan
ketum dari syarikat farmasi di Eropah dan Amerika Syarikat.
Jelasnya, syarikat-syarikat farmasi itu nampak kebaikan tanaman itu
sebagai alternatif untuk perubatan moden kerana ketum didapati memiliki
ramuan penting dalam pembuatan ubat bagi kegunaan musim sejuk.
“Mereka (negara lain) akan mempatenkan segalanya sebelum dipasarkan ke
seluruh dunia dan kita perlu bertindak pantas dalam isu ini,” katanya
yang dipetik Bernama ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Umno
Padang Besar di Taman Beseri Indah, semalam.
Ini kerana, katanya, farmasi di Eropah dan Amerika Syarikat banyak
membuat penyelidikan mengenai tumbuhan itu, termasuk Universiti Sains
Malaysia di Pulau Pinang.
“Sekolah Menengah Sains Tengku Mohamad Jiwa, Sungai Petani (Kedah) pula
mendapat anugerah peringkat Asian kerana membuat kajian mengenai ketum.
“Masalah yang berlaku ialah terdapat segelintir orang yang mencampurkan
air rebusan ketum dengan bahan lain seperti ubat nyamuk dan ubat gegat
untuk menjadikan peminumnya merasa khayal.
“Sejak zaman duhulu ketum digunakan dalam perubatan tradisional untuk
memulihkan tenaga, rawatan kolesterol, kencing manis dan cirit-birit.
“Saya sudah kemukakan cadangan kepada kerajaan dan masyarakat. Sekarang
terpulang, jika kita tolak, beberapa negara lain bersedia menanam ketum
untuk memenuhi permintaan tersebut,” katanya.
Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar berkata, Risda perlu
mencari alternatif lain disebabkan harga getah yang tidak stabil dan
ramai yang menentang cadangan penanaman ketum itu.
Cadangannya itu ditentang beberapa pihak termasuk Menteri Besar Perlis,
Datuk Seri Azlan Man yang menegaskan pemilik tanah yang baru mendapat
geran hak milik akan ditarik balik hak milik itu sekiranya didapati
menanam pokok ketum di tanah mereka.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob turut melarang pekebun kecil menanam ketum secara komersil
sebagai sumber pendapatan tambahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.