Bernama
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan terlebih
dahulu memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman bekas ketua
pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.
Peguam J Leela yang mewakili Anwar memberitahu media bahawa
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan membenarkan
permohonan Anwar supaya Khairy yang merupakan defendan memulakan
keterangannya terlebih dahulu dalam perbicaraan kes saman itu.
Katanya mahkamah menetapkan 19 September untuk mendengar keterangan Khairy.
Pada kebiasaannya, dalam kes sivil, plaintif yang akan memulakan keterangannya terlebih dahulu.
Bagaimanapun Anwar yang merupakan plaintif memohon supaya Khairy
memberi keterangannya dan mengemukakan bukti terlebih dahulu berhubung
dakwaannya terhadap Anwar bagi tujuan justifikasi atau perlindungan
bersyarat sebelum plaintif dipanggil atau menyangkal dakwaan itu.
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy bagi memohon
ganti rugi RM100 juta dengan mendakwa Khairy, yang ketika itu Naib Ketua
Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dalam satu ceramah
di Lembah Pantai pada 20 Februari 2008.
Katanya perkataan fitnah dan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan di laman web, termasuk dalam portal Malaysiakini.com.
Khairy, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 8 Oktober 2010
berkata beliau bergantung kepada pembelaan berdasarkan justifikasi dan
perlindungan bersyarat.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.