Jumaat, 1 Julai 2016

Dr M senaraikan bagaimana PM pengaruhi siasatan 1MDB

MALAYSIAKINI


Tun Dr Mahathir Mohamad menyenaraikan kuasa besar Datuk Seri Najib Razak yang mempengaruhi siasatan terhadap 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun perdana menteri.

Mahathir, bersama bekas anggota Umno Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin, berbuat demikian sebagai balasan terhadap pembelaan Najib dalam saman pelanggaran tanggungjawab fiduciari dan misfeasans dalam kerajaan.

Sebagai contoh, mereka menyatakan bagaimana perdana menteri mempunyai prerogatif menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan dan pengguguran anggota kabinet.

Justeru, perdana menteri boleh mengawal dan menyalah guna kedudukan untuk mempengaruhi menteri, sekali gus melemahkan pelbagai institusi terlibat dalam siasatan 1MDB dan dana RM2.6 bilion.

Najib menafikan beliau mempengaruhi Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali.

Bagaimanapun, Mahathir, Khairuddin dan Ainina berhujah, Najib mempunyai kuasa prerogatif untuk melantik dan memberi cadangan kepada agong berhubung pelantikan ke jawatan itu.

Najib, justeru itu, dikatakan berada dalam kedudukan dapat mengawal dan menggunakan kedudukan untuk mempengaruhi peguam negara supaya bertindak terhadap institusi yang menyiasat dakwaan skandal 1MDB.

Apandi pada Januari lalu menyimpulkan, tiga kertas siasatan yang diserah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan terhadap Najib tidak dibawa ke mahkamah untuk prosiding jenayah.

Menyentuh kedudukan polis pula, Mahathir berkata, pasukan keselamatan itu berada bawah kepimpinan ketua polis negara yang menjawab kepada menteri dalam negeri.

Dalam pembelaannya, Najib menafikan campur tangan menggunakan kedudukannya bagi memastikan pihak berkuasa tidak menjalan siasatan terhadapnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.