HARAKAHDAILY
Apabila wawancara Tuanku Ismail yang membidas Felda kerana
menyalahgunakan wang peneroka bagi kepentingan individu tertentu, dan
mempersoalkan keperluan agensi kerajaan sepertinya menubuhkan pasukan
bola sepak dan penyelewengan dana yang diperuntukkan untuk golongan
miskin tersebar melalui laman Facebook pasukan bola sepak Johor Darul
Ta’zim (JDT).
Lantas, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,
Datuk Ismail Sabri Yaakob menjawab 'Felda tidak pernah lari dari
landasan asal'. Beliau berkata Felda digalakkan mencari pendapatan bagi
membolehkan ia berdikari dan menampung perbelanjaan mereka.
“Felda
tidak pernah lari pun daripada landasan asalnya. Felda daripada
asalnya, menyusun semula masyarakat, memberikan tanah kepada orang
Melayu yang tidak ada tanah untuk tingkatkan pendapatan mereka dan
sebagainya.
“Bukan bermakna Felda itu berniaga, ia lari daripada
tujuan asal. Felda satu ketika dahulu, sewaktu ditubuhkan, mendapat
bantuan, sokongan kewangan daripada kerajaan,” petikan ucapan Menteri
ini disiarkan oleh media web
feldavoice.http://www.feldavoice.com/2016/07/28/felda-tidak-pernah-lari-dari-landasan-asal-ismail-sabri-jawab-tuduhan-tmj/
Menteri
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini seolah-olah menafikan seribu macam
permasalahan yang sudah melanda Felda sejak Tan Sri Isa Abdul Samad
dilantik menjadi Pengerusi Felda oleh Perdana Menteri pada 2011.
Terbaharu,
peneroka di seluruh negara dikejutkan dengan kegagalan pihak Felda
membayar duit hasil jualan BTB mereka dan lebih parah masalah ini sudah
menular di beberapa negeri dan tanah rancangan Felda. Sehingga hari ini
menteri terbabit tidak pula memberi penjelasan mengapa perkara ini
berlaku.
Saya pernah membangkitan keluhan kontraktor-kontarktor
Felda beberapa minggu lalu, mereka tidak menerima bayaran tuntutan kerja
mereka sejak beberapa bulan lalu. Sehingga kini Tan Sri Isa Samad
membisu. Banyak perkara pelik dan pemborosan yang melibatkan kewangan
Felda dilaporkan sejak 2011 hingga kini.
Penyenaraian FGV di
papan utama bursa saham pada 2012 sesungguhnya telah mengubah segalanya.
Tranformasi yang dilaungkan oleh Perdana Menteri benar-benar sudah
mengubah Felda dari sejak penubuhannya.
Dalam pembentangan
Belanjawan 2012 pada 7 Oktober 2011 lalu, Perdana Menteri merangkap
Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan Felda Global
Ventures Holdings Berhad (FGVHB), syarikat milik penuh Federal Land
Development Authority (FELDA) akan disenaraikan di Bursa Saham Malaysia.
Penyenaraian
ini dijangka mampu menjana dana sebesar RM6 bilion. Bagi menjayakan
impian ini, FGV perlu menguasai kedudukan kukuh dalam Felda. Peneroka
seluruh negara tidak sedar penyingkiran Koperasi Permodalan Felda (KPF)
dari Felda Holdings adalah satu kesilapan besar. KPF yang menguasai
ekuiti 51 peratus pegangan kepentingan di dalam FHB, manakala baki 49
peratus dikuasai badan-badan kerajaan. Ke mana hasil dari dana
penyenaraian ini?
KPF yang menguasai 51 peratus ekuiti dalam
Felda Holdings Berhad ( FHB ) telah ditendang keluar dari Felda apabila
perwakilan bersetuju menyerahkan 112,199,999 kepada Felda Global Venture
Holdings Berhad (FGVH) dengan kaedah mengangkat tangan tanpa melalui
penerangan dan taklimat khas berkaitan. Sejarah hitam ini berlaku pada
27 Oktober 2013 jam 10 pagi di Dewan Banquet Menara Felda.
Penyingkiran
KPF dari dari menguasai FHB dengan 51 peratus pegangan saham yang
sebelum ini menjadi kebanggaan peneroka Felda telah membuka mata
peneroka Felda seluruh negara. FGV telah mengambil alih semua
kepentingan 112,199,999 unit saham bersamaan 51 peratus dengan nilai
yang sangat tidak munasabah iaitu RM2.2bilion ataupun RM19.61 sesaham.
Peneroka
Felda digambarkan saham ini akan membawa mereka menjadi golongan rakyat
yang berpendapatan tinggi. Perdana Menteri sendiri mengungkapkannya
dalam membawa Felda ke arah tranformasi dan mampu mengubah kehidupan
warga peneroka Felda.
Saham FGV yang diniagakan dengan nilai IPO
RM4.45 seunit menjunam dengan teruk sehingga kini. Dengan harga semasa
tidak melepasi RM1.90 pada suku kedua tahun ini, menambahkan lagi
kebimbangan peneroka Felda terhadap nasib mereka, walaupun hanya
memiliki hanya 2.2 peratus keseluruhan saham FVG yang di keluarkan.
Peneroka Felda hanya diperuntukkan 800 unit saham sahaja.
Peneroka
Felda berhutang dengan bank perdagangan RM3,560 tidak termasuk faedah
dan mengalami kerugian semasa RM2,080 pada pada 27 Julai 2016, apabila
urusniaga ditutup dengan nilai semasa RM1.85 seunit. Lebih malang lagi
peneroka terpaksa membayar pinjaman kepada Felda RM50 setiap bulan untuk
melunaskan pinjaman pembelian saham sebanyak 800 unit. Kerajaan telah
mengumumkan Felda telah mengambil alih hutang peneroka dari bank setelah
setahun pinjaman ini dibuat.
Bagaimana pula kerugian syarikat,
badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri dan lain-lain yang
memiliki saham FGV dan sudah pastinya mereka membuat pelaburan yang
besar dan kini sedang menanggung kerugian akibat kejatuhan nilai semasa
saham FGV ini yang terpaksa dikeluarkan dari senaraian utama di papan
bursa.
Penjualan aset Felda Global Ventures Holdings Berhad
(FGV) di luar negara, FGV telah menjual keseluruhan kepentingannya
dalam Twin Rivers Technologies Enterprises de Transformation de Granines
Oleagineuses du Quebec Inc (TRT-ETGO) dengan nilai AS$180 juta atau
RM608.2 juta, isu ini terus menjadi tanya rakyat Malaysia kerana pihak
FGV tidak pernah menjelaskan kedudukan keuntungan yang didakwanya
mencecah RM65 juta.
Tidak ada laporan lengkap keuntungan yang
didakwa FGV, sebaliknya ada sumber yang sangat boleh dipercayai mendakwa
FGV mengalami kerugian besar berkait penjualan ini sehingga mencecah
RM800 juta.
Pada awal julai 2015 lalu, FGV seperti mana
dilaporkan Bloomberg dijangka memperolehi lebih RM1 bilion selepas
berjaya menjual kilang TRT-ETGO yang telah menarik minat pembida pada
harga AS$180 juta (RM686 juta) hingga AS$250 juta (RM953 juta).
Hanya
sebulan selepas laporan Bloomberg, FGV telah melaporkan penjualan
TRT-ETGO ini dengan harga RM608.2 juta kepada Viterra Inc, pengendali
dan pemasar bijirin dan minyak terkemuka Kanada.
Pada 11 Ogos
lalu, bekas Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Emir
Mavani mengesahkan bahawa perbincangan dengan lima syarikat
antarabangsa berminat untuk membida TRT-ETGO masih berjalan. Hanya jarak
waktu 14 hari, FGV telah mengumumkan penjualan ini.
Ketika
peneroka Felda berhadapan dengan kejatuhan harga komuditi sawit dan
getah, Felda telah mengumunkan projek penerokaan dalam segmen penginapan
di luar negara melibatkan kos RM373.4 juta.
Bilik yang berharga
hampir RM1 juta berhampiran Wembly Stadium London didakwa mampu membawa
Felda mencapai matlamat menambah pendapatan kepada syarikat dalam
langkah strategik Felda melalui Felda Investment Corporation (FIC).
Ini
hanya sebahagian permasalah yang melanda Felda. Peliknya menteri ini
tidak menyedari masalah hutang yang sedang melingkari peneroka Felda
waktu ini. Berjayakah kita jika peneroka Felda meninggal dunia dengan
hutang puluh ribu bahkan ada sebahagian mencecah ratus ribu? Hutang yang
ditinggalkan ini bakal diwarisi generasi seterusnya. Apakah dasar Felda
ada menyatakan peneroka akan mati dengan hutang ratusan ribu? Apa benar
masih berada di landasan sebenar?
Hentikanlah lakonan ini, kami
mengharapkan menteri dapat menyelami isu sebenar, bukan berkata ikut
skip. Kami tidak nafikan penubuhan Felda oleh Allahyarham Tun Abdul
Razak Hussein pada 1960 membawa kejayaan memberi tanah kepada 112,635
peneroka dan ditempatkan di 317 buah rancangan.
* Naraza Muda, Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.