Ahad, 31 Julai 2016

Anak tidur berlapar, jumpa wakil Najib pun gagal dapat bayaran, keluh kontraktor

ARIF ATAN
 
 
Kerja kerja membalut paip antara yang dilakukan syarikat Lily yang merupakan skop insulationKerja kerja membalut paip antara yang dilakukan syarikat Lily yang merupakan skop insulation

Bukan seminggu atau sebulan dua tetapi hampir dua tahun menanti.

Itu nasib dialami kontraktor yang mahu dikenali sebagai Lily Surya, 40, akibat kegagalan pihak kerajaan melunaskan bayaran yang sepatutnya diterima selepas menyiapkan kerja-kerja berkaitan projek dandang wap (biomass) di Kerteh, Terengganu.

Ibu tunggal bagi seorang anak itu mewakili 15 kontraktor lain dengan keseluruhan bayaran sepatutnya mereka terima mencecah RM26 juta.

Lily memberitahu, projek itu yang diambil alih oleh kerajaan pusat kemudiannya melantik Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) untuk menjelaskan bayaran kepada kesemua kontraktor terbabit.

Beliau berkata, selain BiotechCorp, pihak yang dilantik untuk menyelesaikan isu berkenaan adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Kementerian Kewangan (MoF).

"Sampai hari ini, sesen bayaran pun tak terima lagi. Kami sudah banyak kali ulang-alik mesyuarat dengan mereka semua tapi janji (bayaran) bulan ini sudah berganti tahun," ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.
Habis harta benda

Akibat kegagalan bayaran tersebut, jelasnya, beliau sendiri mengalami masalah kewangan kritikal sehingga tidak mampu menjelaskan sewa rumah dan menghantar anak ke sekolah.

"Beberapa hari lepas, saya sendiri nak makan pun tiada duit. Anak tidur tapi tak makan sejak tengah hari. Dia pun sudah dua hari tak pergi sekolah sebab saya nak isi minyak kereta hantar dia ke sekolah pun tak boleh.

Antara mesyuarat kumpulan kontraktor terlibat baru baru ini. Dipengerusikan wakil MoF tengah turut hadir Datuk Mazlee dari BiotechCorp yang mereka anggap wakil Perdana MenteriAntara mesyuarat kumpulan kontraktor terlibat baru baru ini. Dipengerusikan wakil MoF tengah turut hadir Datuk Mazlee dari BiotechCorp yang mereka anggap wakil Perdana Menteri"Saya tak malu untuk beritahu sudah habis ikhtiar untuk bayar sewa rumah, makan minum dan anak ke sekolah sebab saya ibu tunggal yang bergantung harap pada pendapatan dari kerja-kerja yang saya buat.

"Tuan rumah pula sudah suruh saya kosongkan rumah sewa kalau masih tak boleh jelaskan tunggakan yang masuk bulan keempat," ceritanya.

Ibu kepada anak berusia 16 tahun itu memberitahu lagi, beliau juga gagal untuk mendapatkan semula barangan kemas yang digadai bagi tujuan mendapatkan dana menyifatkan projek tersebut sebelum ini.

"Untuk makan, saya terpaksa harapkan adik saya yang kerja kampung bagi RM100 untuk kami dua beranak. Bolehlah dapat bertahan buat sementara waktu," ujarnya.

Macam pengemis

Mengulas lanjut usaha terbaharu dilakukannya bersama kumpulan kontraktor terbabit, Lily berkata, sebahagian daripada mereka telah ke Putrajaya semalam (29 Julai) untuk bertemu dengan pihak MoF.

"Malangnya, kedatangan kami tidak dilayan. Seorang (pegawai MoF) pun tak muncul. Kami macam pengemis duduk di lobi tunggu dari jam 3 sampai dekat pukul 6 petang," keluhnya.

Beliau berkata, sebelum ini telah beberapa kali mereka berbincang dengan MIDA, MoF dan BiotechCorp.
"Sampaikan sudah 'meeting' dengan wakil Datuk Seri Najib Razak. Silih berganti mesyuarat tapi janji tinggal janji. Sekarang kami tidak sabar tunggu lagi," tegasnya.

Sehubungan itu, Lily mewakili kumpulan kontraktor terlibat menyeru Perdana Menteri untuk campur tangan dalam menangani masalah yang berlarutan itu.

"Tolonglah. Kami berharap perkara ini dapat segera diselesaikan," rayunya lagi.

Difahamkan, projek berkenaan bermula pada Jun 2013 sehingga kilang NSE Corporation berjaya disiapkan dengan menyalurkan wap pada 7 Julai 2014 kepada dua kilang milik pelabur asing iaitu CheilJedang (CJ) dari Korea dan syarikat kimia dari Perancis iaitu Arkema dengan nilai pelaburan sebanyak RM 1 billion.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.