PUTRAJAYA: Sebanyak 873 kes wabak measles atau campak dilaporkan
sehingga minggu pertama bulan ini, sekaligus menunjukkan peningkatan 340
peratus berbanding 197 kes untuk tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata
peningkatan kes demam campak itu disebabkan kanak-kanak tidak
mendapatkan imunisasi.
Beliau berkata majoriti wabak membabitkan rumah persendirian (63.6
peratus), diikuti institusi (28.8 peratus) dan komuniti (7.6 peratus)."
"Sepanjang tahun 2015, terdapat 1,318 kes wabak demam campak dengan dua
kematian dan belum ada kematian pada tahun ini,” katanya dalam
kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya pada Ahad.
Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 66 kes wabak demam campak dilaporkan
sehingga minggu pertama bulan ini, iaitu peningkatan hingga lima kali
ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
"Pada 2014, hanya 11 wabak demam campak dilaporkan (bagi tempoh berkenaan) dan meningkat kepada 57 wabak pada 2015,” katanya.
Bagi wabak cacar air atau chicken pox, Dr Noor Hisham berkata, 109 kes
dilapor pada tahun ini iaitu menurun 34.7 peratus berbanding 167 pada
2015 dan 125 pada 2014.
Katanya, tiada kematian akibat cacar air pernah dilaporkan dalam tempoh
tiga tahun, serta majoriti kes bagi tahun ini melibatkan institusi (90
peratus) seperti taska, tadika, pusat jagaan harian dan pusat tahanan.
Beliau berkata, demam campak dan cacar air adalah penyakit cegahan
vaksin yang sangat mudah berjangkit melalui udara dan sentuhan langsung
kepada titisan cecair pesakit.
Katanya, imunisasi demam campak akan diberikan kepada kanak-kanak pada
umur sembilan dan 12 bulan, manakala imunisasi cacar air tidak termasuk
dalam Program Imunisasi Kebangsaan.
Menurutnya, gerakan antivaksin turut memberi kesan kepada liputan
imunisasi sehingga menyebabkan liputan itu boleh menurun sehingga kurang
daripada 95 peratus.
Katanya data dari klinik kesihatan menunjukkan bilangan kes yang
menolak vaksin dalam kalangan ibu bapa meningkat daripada 470 kes pada
2013 kepada 1,292 kes pada tahun 2014.
Dr Noor Hisham menarik perhatian bahawa campak dan cacar air adalah
sejenis penyakit yang amat mudah merebak dan kanak-kanak yang
dijangkitinya perlu diasingkan dan tidak dihantar ke pusat asuhan,
taska, tadika atau sekolah.
Katanya, ibu bapa dinasihatkan bekerjasama dengan memastikan anak-anak
mereka mendapat imunisasi, sama ada pada tarikh hari lahir pertama anak
atau semasa kempen imunisasi campak dijalankan dalam komuniti.
“Tindakan bijak kita akan menurunkan risiko jangkitan campak dan
mengurangkan keterukan penyakit serta mencegah kematian,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.