Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani W. M. Azhar
PASIR PUTEH: Ulama PAS disarankan berhenti menyerang dan memaki hamun
musuh politik, termasuk Umno-Barisan Nasional (BN) selaras pendekatan
budaya dan politik matang yang diperkenalkan Presiden, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang.
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, golongan ulama PAS
sepatutnya menunjukkan akhlak terpuji dengan menggunakan pendekatan
Islam dalam siri ceramah politik.
"Seolah-olah perjuangan kita ini kecil apabila hanya serang Umno-BN.
Kita alim ulama sepatutnya praktis (politik matang dan tidak melihat
musuh politik hanya Umno dan BN semata-mata)
"Kenapa (ulama) tidak bercakap pasal agenda, matlamat, hala tuju,
tawaran, gagasan PAS kepada rakyat untuk tunjukkan kecantikan Islam
tanpa perlu menghabiskan 40-50% ceramah politik dengan memaki hamun
pihak lain (musuh politik).
"Kemungkaran yang dilakukan pihak lawan perlu dibalas dengan fakta,
bukannya dibalas dengan emosional dan tidak terkawal. Ini bukan budaya
yang sepatutnya kita praktis,” katanya semasa berucap pada Muktamar
Tahunan Dewan Ulama PAS ke-55 di Tok Bali hari ini.
Nasrudin yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP)
dalam pada itu berkata, pendekatan politik matang itu perlu diaplikasi
sewaktu penamaan calon dan kempen sempena dua Pilihan Raya Kecil (PRK)
yang akan berlangsung tidak lama lagi.
"Bagaimana kita nak pastikan situasi penamaan calon menjadi situasi
Islamik.. Nk jerit atau apa saja jangan sampai rosakkan akhlak.
"Kadang-kadang selawat semasa perarakan calon habis tenggelam dek jeritan entah dari mana.
"Kita tampil dengan tersendiri yang layaknya dari dewan ulama, bukan
yang tak tahu ilmu. Dari situ orang akan nampak bagaimana kita pimpin
masyarakat," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.