Khamis, 30 Jun 2016

Produk haram berlogo halal?

Produk haram berlogo halal?
Facebook Jakim menjelaskan tentang viral gambar tersebut.
 
 
SHAH ALAM – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan gambar produk haram berlogo halal yang tersebar di media sosial baru-baru ini isu lama yang disebarkan kembali.

Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal Jakim berkata, pihaknya telah menyiarkan penjelasan mengenai kes penggunaan logo halal itu pada September dan November, tahun lalu.

“Merujuk kepada gambar yang diviral tersebut, ditegaskan bahawa Jakim sama sekali tidak pernah mengeluarkan logo halal kepada produk haram seperti gambar yang tersebar tersebut.

“Hasil siasatan Jakim di dua lokasi iaitu Miri dan Kuching seperti yang dimaklumkan oleh pengadu mendapati produk tersebut tidak berada di pasaran,” katanya.

Beberapa keping gambar makanan dipercayai daging khinzir dalam tin dengan logo halal tersebar di media sosial yang mengundang keresahan pengguna dari kalangan umat Islam.

Sehubungan itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia gambar yang sengaja diedit dengan meletakkan logo Halal Jakim.

“Sekiranya benar, Jakim mengecam perbuatan tersebut kerana perkara tersebut boleh mendatangkan tohmahan dan fitnah terhadap Pensijilan Halal Malaysia.

“Jakim menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung penjualan, pengedaran atau penyimpanan produk ini untuk tampil membantu agar tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya perkara tersebut adalah benar-benar berlaku,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.