Ahad, 5 Jun 2016

Polis: Penyokong diminta bersikap tertib, berdisiplin

SINAR HARIAN


PRK Sungai Besar
PRK Sungai Besar


SUNGAI BESAR - Penyokong parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dinasihati bersikap tertib dan berdisiplin pada hari penamaan calon esok, terutama yang memiliki pas terbuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pegawai Perhubungan Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar, Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, lebih 1,000 petugas ‎keselamatan akan ditempatkan di sekitar kawasan Dewan Sri Bernam yang digunakan sebagai tempat penamaan calon, esok.

"Kita menasihati penyokong yang berarak pagi esok agar tidak melakukan sebarang provokasi atau menimbulkan kekacauan sepanjang proses penamaan calon berlangsung," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Ditanya mengenai larangan menggunakan dron untuk tujuan penggambaran, Khalil berkata, pihaknya akan memantau penggunaannya, asalkan individu yang menggunakannya mendapat permit daripada badan yang mengawal selia.

"Kita juga harap individu yang mengawal dron itu tidak mengganggu kawasan larangan keselamatan," katanya.

Dalam pada itu, katanya bagi melancarkan proses penamaan calon esok, polis turut menetapkan kawasan tertentu untuk penyokong parti berkumpul.

Jelasnya tempat berkumpul bagi penyokong Barisan Nasional (BN) adalah di Jalan Menteri, penyokong Pas di Jalan LPN manakala penyokong Parti Amanah Negara berkumpul di hadapan pejabat parti berkenaan di pekan Sungai Besar.

Berikutan itu, beberapa laluan utama di Sungai Besar akan ditutup sempena proses penamaan calon mulai 6 pagi sehingga 1 tengah hari esok.

"Kita telah meletakkan petugas di setiap jalan bagi mengawasi jalan utama yang terpaksa dilencongkan esok," katanya.

Antara jalan yang ditutup ialah persimpangan lampu isyarat Jalan Teluk Intan-Klang ke Jalan Abu Samah dan persimpangan lampu isyarat Jalan Teluk Intan-Klang ke Jalan Menteri.

PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil itu diadakan pada 18 Jun, manakala penamaan calon ditetapkan esok. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.