Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk menerima penyertaan bekas
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri
Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam gabungan pembangkang itu.
Namun Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Datuk Saifuddin Abdullah,
berpendirian adalah lebih baik menunggu masa yang sesuai bagi 'melamar'
kedua-dua bekas pemimpin yang dipecat daripada Umno baru-baru ini.
"Kita sentiasa terbuka untuk Tan Sri Muhyiddin menyertai mana-mana
parti dalam Pakatan Harapan, tetapi adalah tidak cantik untuk kita sebut
perkara ini secara terbuka begini.
"Kita menghormati kedudukan dan ketokohan beliau jadi tidak manis untuk dibincang secara begini," katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian dalam mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin
bahawa dirinya dan Mukhriz masih belum membuat keputusan berkaitan
platform mana yang akan dipilih kerana masih terlalu awal untuk
diputuskan.
Malah bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga turut berkata banyak
pihak mahu beliau menyertai gabungan pembangkang bagaimanapun tidak
menolak untuk bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Pagoh pada
Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.
Menjawab perkara itu, Saifuddin berkata gabungan pembangkang akan
menyokong langkah Muhyiddin untuk bertanding sebagai calon Bebas selagi
perkara itu selari dengan perjuangan pembangkang untuk menubuhkan
kerajaan baru di Putrajaya.
"Kita PH sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua parti
pembangkang dan termasuk calon Bebas, yang selari dengan perjuangan
kita. Sebab pada kita yang utama ialah membentuk blok pembangkang yang
lebih besar," jelas Saifuddin.
Muhyiddin sebelum dipecat pada Jumaat lalu, sebelum ini dilihat 'mesra'
pembangkang apabila menyertai Deklarasi Rakyat yang dipimpin bekas
Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang bertujuan bagi menjatuhkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.