Oleh Muhammad Asyraf Azlan
PETALING JAYA: Pakatan Harapan akan bersedia awal dengan strategi
sesuai untuk menghadapi saingan pelbagai penjuru pada PRU 14, jika usaha
untuk mencapai permuafakatan dengan PAS gagal, kata Ketua Setiausaha
Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah.
" Kita dalam pakatan juga bersedia dengan kemungkinan usaha
(permuafakatan dengan PAS) tidak berlaku dan akan adanya perlawanan tiga
penjuru di mana-mana tempat.
"Kita tidak boleh tunggu sampai minit-minit terakhir kita dapat tahu
ada tiga perjuru baru kita nak bersedia. Kita kena bersedia dari
sekarang,” kata beliau kepada Antarapos.
Bagaimanapun beliau menegaskan pilihan pertama PH ialah untuk membentuk
kerjasama jitu antara pembangkang, yang melibatkan PAS dan pihak lain.
"Seandainya, pilihan pertama, doa dan harapan kita adalah satu lawan
satu. Sekiranya berlaku tiga penjuru seperti Sungai Besar dan Kuala
Kangsar dan (tidak) semestinya dengan PAS, mungkin dengan orang lain,
kita kena bersedia dengan strategi tiga penjuru.
"Sudah tentu akan ada caranya untuk menang juga," kata Saifuddin, bekas
ahli Majlis Tertinggi Umno yang menyertai PKR tahun lalu.
Pemerhati politik rata-rata akur kesukaran PH membentuk kerjasama dengan PAS kerana permusuhannya dengan DAP dan Amanah.
Usaha PH memastikan saingan dua penjuru menentang Barisan Nasional (BN)
dalam tempoh dua bulan yang lalu berakhir dalam kegagalan.
Pada Mei lalu, pilihan raya negeri Sarawak menyaksikan DAP dan PKR
meletakkan calon masing-masing di enam kerusi manakala PAS menentang
Amanah di sebelas kerusi.
Saingan pelbagai penjuru itu membantu BN memenangi kerusi-kerusi
berkenaan, sekali gus memberikan majoriti lebih dua pertiga di DUN
Sarawak.
Walaupun bertekad mengelakkan keadaan sedemikian berulang, PAS dan
Amanah sekali lagi bertembung pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan
Kuala Kangsar pada 18 Jun lalu.
BN berjaya mengekalkan dua kerusi parlimen itu dengan majoriti yang
besar, sekali gus mencerminkan perpecahan yang semakin ketara dalam blok
pembangkang.
Saifuddin berkata pihaknya mengambil iktibar daripada PRK berkenaan dan mahu membentuk blok pembangkang yang 'lebih luas'.
"Pakatan Harapan bersikap terbuka dengan semua parti politik termasuk
PAS, PSM dan ada lagi beberapa buah parti kecil di Sabah dan Sarawak
malahan dengan tokoh atau individu tertentu juga kita terbuka untuk
berunding.
"Kami tidak akan berhenti dan tidak akan berputus asa untuk
berunding...asalkan kita ada satu blok pembangkang yang lebih luas,"
katanya.
Perbalahan di kalangan parti pembangkang merancakkan rentak sokongan
rakyat kepada BN yang kini diuar-uarkan bersedia menghadapi PRU14 lebih
awal daripada yang dijangkakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.