Isnin, 27 Jun 2016

Menjelang rombakan: Najib dicadang kecilkan kabinet

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Liew Chin Tong minta Najib kecilkan sais kabinet.Liew Chin Tong minta Najib kecilkan sais kabinet.


Menjelang pengumuman penyusunan semula Kabinet, DAP meminta perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membuat tiga perkara, iaitu mengecil jumlah menteri di Jabatan Perdana Menteri, melantik menteri kewangan sepenuh masa dan mengecilkan sais kebinet kepada 20 menteri sahaja.

Cadangan itu dikemukakan oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Menurutnya, rombakan pada 28 Julai 2015 menyaksikan pemecatan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Shafie Apdal.

Antara 28 Julai 2015 dan penamatan tempoh perkhidmatan dua penggal senator Idris Jala pada 2 September 2015, kabinet Najib mengandungi 37 orang Menteri dan 32 orang Timbalan Menteri.
Pada tempoh tersebut, Jabatan Perdana Menteri telah mencatatkan jumlah seramai 11 orang menteri penuh (tidak termasuk PM dan TPM).

"Langkah reformasi pertama yang perlu dilakukan oleh Najib ialah dengan mengecilkan jumlah terebut. Untuk rekod, jumlah menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum PRU 13 hanyalah 5 orang sahaja! Mampukah Najib lakukannya?" soal beliau.

Atau setidak-tidaknya, kata beliau, dengan penamatan perkhidmatan Idris Jala dan Abdul Wahid Omar, diharap tiada lagi penambahan perjawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Tambahan lagi, memandangkan tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Paul Low dalam mengangkat isu-isu integriti dan anti korupsi, saya mencadangkan agar beliau bersara dari kabinet dan tiada perlantikan baru dibuat bagi mengisi kekosongan tersebut," katanya.

Dari sudut yang lain pula, beliau mencadangkan,  ‘panglima perang’ atau warlords UMNO seperti Shahidan Kassim dan Azalina Othman bolehlah mempengerusikan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu parlimen untuk memainkan peranan yang lebih. Tidak perlulah sehingga terpaksa di'sumbat’ semahu-mahunya di Jabatan Perdana Menteri ini, katanya.

"Mewujudkan jawatankuasa-jawatankuasa khas parlimen untuk memposisikan warlord UMNO bagi saya merupakan langkah ‘menang-menang’Najib untuk mengawal sekaligus memastikan kabinetnya dapat terus digerakkan oleh menteri-menteri yang kompeten," katanya.

Pemimpin komponen BN seperti Mah Siew Keong, Wee Ka Siong, Joseph Kurup dan Joseph Entulu perlu diberikan peluang menjadi menteri di kementerian-kementerian tertentu, bukan sekadar ‘asal boleh’ menempatkan mereka di Jabatan Perdana Menteri dengan tanggungjawab yang amat kecil dan tidak signifikan, kata Liew.

Reformasi kedua yang mesti dilakukan oleh Najib ialah memisahkan bidang kuasa Perdana Menteri dari Kementerian Kewangan. Skandal 1MDB merupakan indikasi jelas bahawa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak boleh diterajui oleh satu individu yang sama.

"Keadaan ekonomi global dan cabaran semasa yang bakal kita hadapi kini menjadi asas yang kuat bahawa seorang Menteri Kewangan sepenuh masa amat diperlukan.

"Secara peribadi, saya tidak melihat keupayaan Menteri Kewangan kedua, Husni Hanadzlah untuk mengepalai kementerian ini. Hemat saya, Mustapha Mohamad lebih wajar memainkan peranan tersebut," katanya.

Reformasi yang ketiga ialah dengan mengecilkan saiz kabinet sedia ada. Kabinet yang kecil tetapi efektif telah diamalkan di negara-negara demokrasi hari ini dan kebanyakkannya dengan disisipkan menteri-menteri junior atau junior ministers.

Cadangan beliau adalah:

Kementerian Pendidikan serta Pendidikan Tinggi disatukan dibawah satu kementerian. Tiada keperluan memisahkan antara keduanya;

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan digabungkan dalam satu kementerian. Pemisahan antara keduanya membuatkan koordinasi dasar antara kedua-duanya lebih sukar;

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Perusahaan Perladangan dan Komoditi digabungkan menjadi satu;

Tiga ‘kementerian kecil’ yang wujud untuk menampung perjawatan junior ministers dari Sabah dan Sarawak iaitu Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar perlu digabungkan menjadi satu bagi memastikan koordinasi polisi yang lebih baik dan bersepadu. Bahkan jika ada perjawatan menteri baru yang ingin dilantik dalam kerangka maksud yang sama, ia mestilah tetap berada dibawah satu Kementerian.

Dua lagi harapan beliau ialah;

1) Menteri yang baru dapat dilantik bagi menggantikan Anifah Aman di Kementerian Luar Negeri. Cabaran yang dihadapi di rantau ini kian memuncak khususnya di Laut Cina Selatan. Saya melihat Anifah gagal memainkan peranannya dengan efektif dan perlu diganti.

2) Kementerian Wilayah Persekutuan dimansuhkan. Sebagai ganti, Kerajaan Negeri yang dipilih melalui pilihan raya bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diwujudkan manakala pilihan raya Kerajaan Tempatan mengambil tempat di Putrajaya. Begitulah juga perihal Labuan di Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.