Selasa, 28 Jun 2016

Mari lihat isu vaksin ini secara positif


vaksin
- Gambar Hiasan


SHAH ALAM - Sinar Harian menegaskan tujuan laporan khas muka depan semua edisi hari ini, 'Kami Takut Vaksin' yang menjadi kontroversi bukan atas sebarang agenda negatif.

Sebaliknya Jurucakap Sinar Harian berkata, laporan itu demi memujuk golongan ibu bapa ini supaya tidak lagi takut dan tampil membawa anak-anak untuk menerima vaksin.

"Antara punca besar kenapa orang tak mahu menerima suntikan vaksin adalah kerana takut. Kononnya vaksin itu agenda Yahudi dan jika terima vaksin boleh jatuh sakit.

"Kita keluarkan laporan khas ini untuk pujuk mereka yang takut ini tampil menghantar anak-anak mereka menerima vaksin.

"Sebab itulah laporan kita hari ini ada sembilan berita di mana enam daripadanya memang 100 % positif kerana kita memang yakin vaksin ini perlu diambil," katanya.

Sinar Harian turut mengeluarkan semula secara sepenuhnya teks fatwa yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1988.

"Kerana kita percaya golongan ini takut berdosa sebab ada dakwaan vaksin mengandungi DNA babi. Fatwa ini dikeluarkan 1988 jadi, sudah terlalu lama. Siapa yang ingat?

"Sebab itu kita cungkil balik supaya pembaca dapat tahu, vaksin dibolehkan dari segi syarak. Jangan takut-takut lagi," katanya.

Namun, malangnya, salah satu berita yang disiarkan menjadi kontroversi dan viral hingga menerima pelbagai kritikan di media sosial malah ada yang menuduh Sinar Harian tidak beretika dalam melaporkan berita.

"Berita itu berdasarkan pengalaman seorang ibu... kisah benar mereka. Mereka mendakwa anaknya tidak boleh bergerak selepas menerima vaksin. Itu pun pemeriksaan awal telah menunjukkan anaknya itu ada sakit lain. Kita laporkan kerana ini suara jujur orang kampung.

"Pengkritik kita harus membaca seluruh laporan itu. Jangan hanya baca satu berita itu sahaja kerana ia laporan khas. Dan esok kita ada laporan lagi dari pelbagai organisasi mengenai pentingnya mengambil vaksin," katanya.

Sinar Harian hanya pelapor. Seperti kata pepatah Inggeris, ‘don’t shoot the messenger’ yang bermaksud, janganlah penyampai khabar itu dimatikan. Jika penyampai berita itu ‘dibunuh,’ siapakah lagi yang akan menyampaikan berita sebagai maklumbalas untuk kepentingan masyarakat?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.