Oleh Aspan Alias
TINDAKAN
Naib Ketua Umno Bahagian Semporna berserta dengan ketiga-tiga ketua
sayap parti dan 300 Ketua cawangan keluar parti semalam merupakan
tanda-tanda yang nyata bahawa Najib sudah tidak dapat mengawal Umno itu
lagi.
Tetapi itulah tindakan yang patut Najib lakukan
dengan memecat serta menggantung pemimpin Umno yang tidak beserta untuk
membantu beliau melindungi kejahatan yang beliau lakukan selama ini.
Bagi
Najib mengkritik beliau untuk kebaikan parti itu adalah haram pada
kemahuan beliau. Najib sedang berada dalam keadaan yang sangat getir
kerana beliau tahu dan sedar yang beliau tidak boleh menutup semua onak
yang beliau lakukan.
Segala-galanya semakin hari semakin jelas
yang beliau merupakan seorang pemimpin yang sudah hilang rasa hormat
ahli-ahli terutamanya diperingkat akar umbi.
Semasa Dr Mahathir
memecat Anwar Ibrahim, Timbalannya dahulu, tidak ada reaksi yang begini
buruk yang menyusuli pemecatan itu tetapi dalam isu yang mutakhir ini ia
amat jelas Najib sudah hampir ke penghujung hayatnya sebagai pemimpin
utama negara.
Beliau mungkin boleh memulas tangan beberapa orang
pemimpin tetapi Najib tidak dapat memulas perasaan yang membara
terhadap beliau dan tindakan keluar Umno beramai-ramai ini merupakan
petanda yang hampir pasti yang Najib hanya boleh memimpin kelompok
beliau sahaja dan tidak mampu menguasai perasaan dan sokongan yang ramai
di kalangan ahli-ahli parti itu.
Jika beliau tidak disegani oleh
ahli-ahli Umno sendiri bagaimana beliau mahu mendapatkan rasa hormat
rakyat jelata yang ramai? Kita tidak pasti samada berita yang ramai lagi
ketua-ketua cawangan seluruh negara akan keluar Umno tetapi mood yang
ada pada hari ini nampaknya tidak memberikan Umno harapan untuk pulih
seperti sedia kala selagi Najib masih mentadbir parti pemerintah itu.
Husni
Hanadzlah, salah seorang dari ahli kabinet beliau, telah mengambil
keputusan untuk melepaskan semua jawatan parti setiap peringkat dan
jawatan beliau dalam kerajaan semalam, dan ini merupakan satu lagi
indikasi yang amat buruk bagi Umno terutamanya kepada Presidennya Najib
Tun Razak.
Tetapi Najib tetap merasakan yang beliau masih kuat
dan tidak ada apa-apa dan sesiapa yang boleh mengenepikan beliau. Beliau
mempunyai muka yang selamba dan berpura-pura dalam hidup kepimpinan
beliau.
Beliau tidak dapat lagi membuat keputusan yang matang
dan bertindak secara berhemah dalam usaha mempertahankan jawatan yang
amat beliau sayangi itu.
Najib sudah tidak ada masa untuk
mentadbir kerajaan kerana segala tenaga dan usahanya ialah untuk
mempertahankan jawatan sebagai Perdana Menteri sahaja. Tetapi apa pun
alasan yang beliau berikan diatas tindakan beliau memecat Muhyiddin dan
Mukhriz serta menggantung jawatan Shafie Apdal itu sudah cukup untuk
membuktikan yang Najib sudah begitu ‘desperate’ dalam menghadapi kemelut
yang menghadapi negara dan Umno serta BN sekarang ini.
Tindakan
beliau mutakhir ini adalah tindakan terdesak dan kita sudah pasti yang
negara tidak akan berada dalam keadaan stabil lagi. Beliau boleh
menyalahkan pembangkang tetapi beliau mesti soal dirinya apa yang
menyebabkan pembangkang mampu untuk menggugat kepimpinannya.
Bagaimana
beliau mahu mendapatkan sokongan pembangkang dan rakyat ramai sedangkan
ahli-ahli serta pemimpin Umno sendiri tidak lagi segan silu untuk
keluar parti secara terbuka. Jika semasa pilihan raya lebih sejuta ahli
Umno memangkah pembangkang sekarang ini ahli-ahli Umno berani keluar
parti secara terbuka.
Bagi saya tindakan ramai ahli-ahli Umno
keluar parti ini adalah tindakan yang tidak bersalahan dengan keadaan
negara sekarang. Ramai berpendapat tidak ada apa-apa lagi dalam Umno
kerana semua ‘attribute’ Umno itu sudah luntur dan tidak wujud lagi
selain dari tinggal namanya sahaja.
Umno itu wujud untuk
mempertahankan negara tetapi Umno sekarang berada dalam keadaan sebagai
sebuah parti yang membiarkan pucuk pimpinan melakukan tindakan ‘treason’
dan mensabotaj negara. Umno tidak lagi parti untuk kepentingan negara
tetapi Umno sudah semakin jelas sebagai sebuah parti yang memusuhi
negara.
Apa tidaknya? Umno kini sedang menyokong pemimpin yang
melakukan rasuah yang tidak terhingga besarnya jika dibandingkan dengan
rasuah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin rasuah di negara-negara
lain.
Skandal kewangan yang berlaku dibawah pentadbiran Najib
sekarang ini merupakan skandal kewangan yang terbesar dalam sejarah
dunia.
Suharto dikatakan rasuah, Ferdinand Marcos dianggap rasuah
dan ramai lagi pemimpin dunia dianggap rasuah tetapi rasuah mereka
adalah jauh lebih kecil dari yang dituduh dilakukan oleh Najib dan kroni
beliau.
Malahan ada yang beranggapan rasuah yang dilakukan oleh
Suharto dan Marcos dicampurkan sekali jauh lebih kecil dari apa yang
sudah dilakukan oleh Najib.
Apa rupa nasib rakyat Malaysia
selepas ini sama-sama kita perhatikan dan tengok secara serius. Kita
akan terdampar dalam kerosakan dan semuanya ini akan dirasai oleh
rakyat. Tidak payah kita fikirkan nasib anak dan cucu kita sekarang ini,
kerana nasib kita dan generasi kita pun sudah tidak terjamin lagi.
Kita
sudah sampai diambang kehancuran budaya dan tamadun. Bagaimana
sejarawan menulis tentang Najib ini tidak dapat kita bayangkan. Yang
pasti tidak ada dalam kalangan sejarawan akan menulis tentang apa yang
baik yang Najib telah lakukan.
Malangnya negara kita ini. Apakah hikmah yang kita akan perolehi, tidak dapat dibayangkan lagi oleh sesiapa. - aspanaliasnet.blogspot.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.