Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN]
Sewajarnya Datuk Husam Musa merujuk kes pemecatannya dari PAS yang
“masih disayanginya” itu kepada Pendaftar Pertubuhan ROS dan bukan
menggunakan pelbagai alasan dan ruang untuk terus mengkritik PAS.
Langkah ini adalah lebih waras dan bijaksana memandangkan Husam
menggunakan hujah bahawa pemecatannya itu tidak mengikut tatakelola dan
perlembagaan parti.
Justeru sebarang keputusan atau tindakan pimpinan parti sebagai sebuah
pertubuhan politik berdaftar dengan ROS mestilah dirujuk kepada
pertubuhan berkenaan untuk mendapat keadilan untuk dirinya.
Namun sebaliknya Husam bertindak untuk menyelitkan kisah “penderaannya”
itu dalam setiap kesempatan untuk mencuri perhatian media khususnya
seolah-olah mahu terus mendedahkan “kepincangan” dalam PAS.
Walhal jika menurut tatakelola disiplin PAS, Husam diberi kesempatan
dalam tempoh tertentu untuk membuat rayuan terhadap keputusan Lembaga
Disiplin yang menggugurkan keahliannya dalam PAS.
“Pendakwaan dibuat secara tangkap muat dan ambil mudah, tidak
berdasarkan kata- kata sebenar dalam ucapan saya sebelum ini, selain
atas alasan kerana menjadi saksi dalam satu kes sivil selepas mahkamah
mengeluarkan sapina kepada saya,” kata Husam.
Dalam pada itu, Husam turut mendakwa, pemecatan beliau itu antara lain
bertujuan menghalangnya menghadiri Muktamar Tahunan PAS yang bermula
pada 1 hingga 3 Jun ini.
Yang nyata, Husam memberi pelbagai alasan melengah-lengahkan rayuan
itu. Di satu peringkat beliau menyatakan sudahpun menulis sebahagian
surat rayuan pemecatan itu kepada presiden parti, Datuk Seri Hadi Awang.
Bagaimanapun beliau mendakwa tiada “mood” untuk melengkapkan dokumen
bicara itu tambahan pula tempoh “iddah”nya masa banyak berbaki.
Sudah tentu sikap Husam itu tidak membayangkan hasrat seseorang untuk
merujuk kembali kepada parti. Ini kerana dalam hampir setiap kenyataan
medianya akan diselitkan beberapa dakwaan tentang kepincangan dalam PAS.
Di segi pentadbiran, pimpinan PAS nampaknya amat bersabar menangani
dakwaan dan sindiran Husam. Bekas Naib Presiden PAS itu diberikan banyak
masa dan ruang “menjaja” alasannya dan sekaligus kritikannya terhadap
PAS.
Anehnya di sebalik lagak berani, jujur dan semangat penuh kasih sayang
mahu memelihara maruah dan integriti PAS, Husam sebenarnya bertindak
seperti seorang yang berkelahi dalam rumahtangga dan amat cenderung pada
fasakh.
Banyak kali pentadbiran PAS dan keputusan pimpinan parti itu, terutama
Presidennya, “didedahkan” sebagai kurang peka dan bersikap berdolak
dalik dalam kepimpinannya termasuk bersabit isu bekerjasama dengan
Umno.
Lantas pada 23 April lalu, Lembaga Disiplin parti pun bersuara dan
menghukum Husam dipecat kerana melanggar perlembagaan parti.
Namun Husam masih tidak mahu melepaskan “gigitan”nya terhadap “maruah
dan wibawa” PAS. Beliau seolah-olah mahu menyatakan masih mempunyai
lebih banyak peluru untuk menegakkan pendirian dan pandangannya terhadap
PAS.
Menjelang pilihan raya kecil parlimen (PRK) Sungai Besar dan Kuala
Kangsar, Husam terus “menegur” PAS supaya menarik diri daripada
bertanding jika enggan berunding dengan parti pembangkang lain.
Katanya, keengganan PAS berunding sehingga sanggup berdepan persaingan
tiga penjuru dalam kedua-dua PRK berkenaan boleh menyebabkan parti itu
kalah teruk termasuk mendapat undi lebih rendah daripada satu lagi parti
yang tewas.
“Kalau berlaku tiga penjuru, PAS mesti dapat undi lebih daripada parti
satu lagi. Jika ditakdirkan PAS dapat kurang undi, imej PAS akan rosak
untuk tempoh yang sangat lama.
“Sama ada PAS berunding dengan parti-parti lain supaya berlaku satu
lawan satu, atau, PAS tarik diri supaya tidak nampak teruk di mata
rakyat,” katanya.
Akhirnya Husam mengesahkan telah mengirim surat kepada Presiden PAS
meminta supaya pemecatannya daripada parti itu ditarik balik dengan
alasan keputusan dibuat tidak mengikut perlembagaan parti.
“Saya berharap Presiden mempertimbangkan perkara ini sebelum muktamar
supaya saya boleh hadir sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Kubang Kerian
dan berpeluang membahaskan ucapan dasar dan mempersoalkan beberapa
tindakan pemimpin parti sejak kebelakangan ini,’’ katanya.
Husam berkata, jika permohonannya ditolak, beliau masih berminat untuk hadir ke muktamar sebagai pemerhati.
Beliau dalam pada itu turut memberitahu bahawa sedang mempertimbangkan
untuk mengheret beberapa individu dalam Pas ke mahkamah kerana
memfitnahnya sehingga dipecat daripada parti.
Dalam pada menyatakan masih sayang pada PAS, Husam dilihat masih
berazam untuk menghadiri muktamar PAS yang sedang berlangsung demi
“melondehkan” tindakan beberapa pemimpin PAS.
Malah dalam semangat meluap-luapnya mahu mempersoalkan beberapa
tindakan pemimpin parti, Husam juga menyelitkan amaran mahu mengheret
beberapa individu ke mahkamah kerana memfitnahnya hingga dipecat.
Husam tentu tahu sikap dan kenyataan sebegitu tidak disenangi oleh
pimpinan parti. Selain “menggertak” individu tertentu, Husam tentu
maklum ramai ahli yang kurang selesa muktamar dijadikan medan
“memburukkan” PAS.
Adakah Husam memilih mahu menyertai muktamar kerana semata-mata
didorong oleh sikap dan rasa kasih sayang untuk “membersih dan
mempertahankan” maruah dan perjuangan PAS?
Atau, adakah kerana sehingga setakat ini belum ada parti lain yang sudi
“melamarnya” setelah diceraikan PAS? Atau, adakah Husam sebenarnya
dilanda sindrom “gila talak” kerana difasakhkan oleh parti
kesayangannya?
Kini terpulang pada muktamar PAS yang sedang berlangsung di Kelantan
untuk sudi mengangkat isu dan kedudukan Husam untuk dibahaskan, atau,
mengabaikan rintihannya di luar parti sebagai satu anasir orang gila
talak.
Buat masa ini, nampaknya aktiviti Husam sekarang ialah bergiat secara
peribadi dalam gerakan Selamatkan Malaysia atau Deklarasi Rakyat yang
menyokong idea yang ditaja oleh mantan perdana menteri, Tun Mahathir
Mohamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.