Khamis, 30 Jun 2016

Gerakan kecam Exco Pulau Pinang guna kata kesat dalam debat

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Gerakan Pulau Pinang menyelar wakil rakyat DAP negeri itu, Lim Hock Seng ekoran tindakannya yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong Barisan Nasional (BN) ketika sesi debat mengenai isu projek tiga lebuh raya dan terowong dasar laut malam tadi.
 
Setiausahanya, Hng Chee Wey berkata, Hock Seng sepatutnya bijak mengawal emosi ketika berdebat dan tidak cuba mengalih isu dengan mengeluarkan kata kesat apabila penjelasan beliau mendapat kritikan penyokong parti lawan.     
 
"Macam mana pun, anda kena menghormati antara satu sama lain. Jangan sampai Yang Berhormat (YB) tidak patut dihormati. Adakah itu perkataan yang patut dikeluarkan dari mulut seorang YB. Lagipun beliau seorang Exco.
 
"Kita harus menampakkan seorang ahli politik yang matang dan berpengalaman, tidak harus memberi satu contoh (buruk) kepada golongan muda atau belia" katanya kepada Antarapos.  
 
Debat di antara Gerakan dan DAP yang menampilkan Hock Seng dengan Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng malam tadi berakhir dengan kekecohan apabila penyokong kedua-dua pihak mengejek satu sama lain dengan mengeluarkan kata-kata kesat.
 
Dilaporkan, kekecohan bermula selepas Hock Seng mengeluarkan perkataan kesat terhadap penyokong BN apabila penjelasan beliau tidak diterima kira-kira 500 penyokong parti itu. 
 
Ekoran terlalu marah, Hock Seng melabelkan kumpulan berkenaan sebagai 'hooligan' dan 'bodoh' sekaligus menyebabkan beberapa lelaki yang tidak berpuas hati cuba menyerbu pentas untuk meminta penjelasan.
 
"Kita nampak semalam, penyokong kedua-dua pihak dalam keadaan berdisiplin tetapi YB Lim (Hock Seng) yang cuba membangkitkan perasaan (marah).
 
"Sebagai seorang pendebat, anda patut menjawab persoalan berdasarkan topik, bukan mengeluarkan emosi dengan memarahi penyokong pihak lawan," kata beliau.
 
Tambahnya, perdebatan yang sewajarnya menjadi medan untuk kerajaan negeri menjelaskan polisi agar difahami rakyat sudah bertukar kepada medan mempromosi 'kebaikan' pentadbiran sendiri. 
 
Mengulas mengenai tindakan yang bakal diambil, ujar Chee Wey, buat masa ini Gerakan Pulau Pinang akan mengeluarkan kenyataan media bagi meminta pihak kerajaan negeri menjelaskan soalan yang tidak berjawab dalam debat berkenaan.
 
Antaranya mengenai kos terowong, perjanjian pertukaran tanah dengan kontraktor Consortium Zenith-BUCG (CZBUCG) dan kos RM305 juta yang dianggap tinggi untuk kajian daya maju projek.
 
BN sebelum ini mengecam sikap 'flip flop' kerajaan negeri dalam mencadangkan pembinaan jambatan ketiga yang bebas tol untuk menggantikan terowong.
 
Isu terowong bertol bernilai RM6.3 bilion dan tiga lebuh raya itu, yang ditawarkan kepada CZBUCG melalui tender terbuka, menjadi tajuk utama untuk beberapa bulan, dan daya maju projek itu terus dipersoalkan oleh NGO dan pembangkang di negeri ini.
 
Tiga lebuhraya tanpa tol itu dijangka siap pada 2022, manakala terowong itu dijangka siap pada 2027.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.