Rabu, 29 Jun 2016

Dewan Bahasa dan Pustaka 'bapak segala indie'


Pada 22 Jun yang lalu genaplah 60 tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah institiusi bahasa dan sastera tersohor negara. Atau bagi yang arif akan sejarahnya, bapa kepada segala penerbitan indie di Malaysia.

Institiusi yang tidak asing lagi bagi peminat arena sastera dan bahasa tempatan ini pada zahirnya berada pada aliran arus perdana. Namun perlu disebutkan, inti pati sejarah dan perjuangannya berbeza daripada naratif tersebut.

Tersergamnya bangunan DBP di Jalan Dewan Bahasa ketika ini bukan sahaja sebagai arca dan mural untuk menghiasi pemandangan ibu kota, tapi juga menjadi pemangkin dan pembina bahasa dan sastera negara.

Walaupun begitu jolokan DBP sebagai bapa segala indie mungkin tidak akan dipersetujui setengah pihak jika mereka hanya melihat dari aspek wacana pentadbiran DBP semasa.

Seperti baru-baru ini, ada herdikan terhadap golongan penulis dan penerbit indie oleh wakil DBP dan mereka dianggap sebagai anasir yang merosak nilai serta identiti bahasa.

Kata-kata ini dilemparkan kepada penerbit dan penulis bebas yang melawan aliran arus perdana dengan menerbitkan karya-karya alternatif, imiginatif dan juga menyusuri alur-alur satira dan sastera, yang membahasakan ketidakpuasan mereka kepada keadaan semasa negara dengan cara yang mungkin dilihat biadab oleh sesetengah orang.

Malah golongan indie ini juga dikatakan telah merosakkan bahasa dengan penggunaan perkataan dan juga gaya penulisan yang tidak menyantuni apa yang dikatakan sebagai konvensyen dan aturan.

Indie seteru arus perdana
 
Namun mengimbau sejarah - dari Balai Pustaka kepada Dewan Bahaha dan Pustaka, dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur - DBP sememangnya meliputi perjalanan yang panjang dan lama, dari Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III pada 1956 hinggalah kepada Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.

Walaupun ianya sebuah institiusi yang dimeterai undang-undang, namun sepanjang kewujudannya, DBP lebih mirip kepada rangkuman indie yang ironisnya telah dicerca itu.

DBP pada asalnya bukan sekadar hanya sebuah gudang kamus makna dan tempat bersidang jawatankuasa kosa kata, tetapi pada suatu ketika merupakan tempat bersanding imiginasi dan idea, melunak puisi dan memupuk segala sajak, cerpen dan karya.

Apakah itu indie selain seteru kepada arus perdana dan pemangkin kepada mereka yang mempelopori dan melakur sastera baru dan alternatif.

DBP sejak awal lagi - ketika dipelopori oleh pemikir dan sasterawan umpama Usman Awang - memang tidak menari mengikut gendang aliran arus perdana semasa.

Siapa boleh melupakan kisah Salina oleh A Samad Said, novel kontroversi pada masanya yang diterbitkan DBP. Dengan Salina beliau merangkumkan permasalahan isu pelacuran yang tidak berani disentuh pena arus perdana ketika itu. Bukankah inilah indie?

Selain isu kontroversi, DBP juga pernah mempelopori penggunaan bahasa yang boleh dikatakan tidak mengikut konvensyen dan aturan semasa.
Malahan dikatakan biadab oleh sesetengah orang.

Lihat sahaja karya Shit dan Tok Guru nukilan Shahnon Ahmad umpamanya. Shahnon adalah seorang lagi penulis indie ketika beliau dinaung DBP. Shahnon banyak menulis tentang pergolakan sosial dan politik negara dengan bahasa dan naratif yang tidak konvesional dan bukan mengikut sopan-santun penerbitan arus perdana.

Dan DBP juga tidak pernah gentar suatu ketika dahulu untuk mengherdik golongan berkuasa, umpamanya terbitan cerpen Hikayat Maharaja Beruk oleh Yahaya Ismail yang mengajuk pergolakan poltik tempatan.

Tidak boleh disangkal lagi yang DBP pada suatu ketika adalah kubu tempat bertempur pelopor karya dan penulisan indie, yang mungkin tidak akan disentuh penerbitan arus perdana.

Bukan lagi pelopor idea kebebasan

Ia boleh berlaku kerana pimpinan DBP ketika itu sedar bahawa peranannya adalah untuk menjana kemajuan sastera dan bahasa, dan bukan mengawal atau mengongkong golongan yang ingin berkarya.

Bagi generasi seangkatan dengan saya, tentu ramai yang masih ingat akan Ahmad Patria Abdullah dan Saga Artakusiad tulisannya. Salah sebuah trilogi kisah fantasi pertama tulisan anak muda Malaysia ketika itu, yang menyorot seakan-akan tulisan Tolkien.

Ianya sesuatu yang mencabar naratif penulisan tempatan dengan membawa liuk cerita yang berbeza. Sesuatu yang boleh dikatan indie pada masanya. Ianya juga dipelopori DBP.

Memang tidak salah lagi, jika kita boleh mengatakan yang DPB itulah bapa kepada segala indie malah ianya pelopor kepada budaya menegur yang berkuasa dengan sastera.

 Ketika itu pelopor idea-idea kebebasan dari tali-temali duniawi akhirnya tewas - dan terikat - dengan budaya wang, gajet, pembelian barang melalui telefon dan juga susur galur hedonisme lain.

Mungkin inilah yang terjadi kepada golongan "hippies" tahun 1960-an yang bertukar kepada golongan "yuppies" sekitar era 1980-an.

Ketika itu pelopor idea-idea kebebasan dari tali-temali duniawi akhirnya tewas - dan terikat - dengan budaya wang, gajet, pembelian barang melalui telefon dan juga susur galur hedonisme lain.

Mungkin inilah juga yang telah terjadi kepada DBP, bapa segala indie itu. Daripada pelopor pembaharuan dan pembebasan sastera dan minda, ia kini umpama institiusi yang ingin mengawal naratif dan cerita, dan bukan lagi tempat membina imiginasi dan karya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.