GEORGTOWN: Susulan penahanan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng oleh
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, kepimpinan DAP
negeri itu akan mengadakan satu mesyuarat tergempar esok.
Mesyuarat berkenaan akan diadakan sejurus selepas Guan Eng dibenarkan
diikat jamin oleh mahkamah, demikian menurut Pengerusi DAP negeri, Chow
Kon Yeow.
"DAP akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa negeri tergempar esok untuk
membuat keputusan bagi menangani krisis politik," katanya kepada
pemberita ketika ditemui di perkarangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau
Pinang, sambil menegaskan mesyuarat itu hanya akan diadakan dengan
kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Ujarnya, DAP menganggap tuduhan ke atas Guan Eng berunsurkan politik yang bertujuan mematikan kariernya.
Sementara itu, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dalam
satu kenyataan berkata parti itu akan sentiasa menyokong dan berdiri
teguh di belakang Guan Eng.
Guan Eng akan didakwa di Mahkamah Sesyen esok atas dua tuduhan rasuah termasuk pembelian sebuh banglo di bawah harga pasaran.
Beliau terdahulu ditahan SPRM petang tadi dan dibawa ke ibu pejabat SPRM Pulau Pinang.
Pertuduhan pertama adalah berkaitan dengan dakwaan beliau menyeleweng
kuasa bersabit permohonan menukar status sebidang tanah daripada
pertanian kepada komersial.
Satu lagi tuduhan terhadap Guan Eng adalah berhubung tindakannya
membeli sebuah banglo daripada seorang ahli perniagaan wanita di bawah
harga pasaran.
Pemimpin DAP itu akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan
Rasuah dan dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara
jika disabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.