ALOR SETAR: Umno Kedah memutuskan untuk melantik ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sharif sebagai Pemangku Ketua Umno Bahagian Jerlun bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipecat daripada parti.
Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk
Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata pelantikan Abu Hassan adalah bagi
memastikan pimpinan Umno Bahagian Jerlun terus berjalan lancar.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam yang diwakili Mukhriz pula akan
dijadikan DUN angkat Badan Perhubungan Umno negeri bagi memastikan nasib
pengundi di situ terus terbela.
"Saya sendiri akan memberikan tumpuan khusus pada DUN Ayer Hitam bagi
memastikan segala keperluan, agenda pembangunan dan kebajikan masyarakat
di situ terus terbela," katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam
tadi.
Bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz yang
juga bekas Menteri Besar Kedah dipecat Majlis Tertinggi Umno pada
Jumaat, manakala keahlian Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digantung.
Mengulas mengenai pemecatan itu, Ahmad Bashah berkata, ia adalah
pendekatan terbaik walaupun parti berhadapan dengan situasi ditelan mati
emak, diluah mati bapa.
"Keputusan secara konsesus itu haruslah difahami dari sudut disiplin
dan aturan dalam jemaah kerana ketiga-tiga pemimpin itu yang sebelum ini
berjasa kepada parti tiba-tiba boleh duduk semeja dan bersekongkol
dengan pembangkang.
"Keadaan itu sekali gus mewujudkan keresahan, kecelaruan dan perpecahan
selain sifat berbelah bahagi dalam kalangan semua peringkat pimpinan
dan ahli akar umbi.
"Lantas, dalam konteks ini tindakan sebegitu memerlukan langkah
pencegahan dan inilah keputusan terbaik malah Umno Kedah sentiasa
istiqamah dan menyokong penuh keputusan kepimpinan demi kelangsungan
parti, " katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.