Selain kes bauksit, SPRM Pahang juga banyak melakukan
tangkapan kes-kes lain dari semasa ke semasa menerusi hasil risikan
sendiri ataupun aduan orang ramai.
TEMERLOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang telah membuat 18 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan rasuah di negeri itu dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Pengarah SPRM Pahang, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya 17 tangkapan yang direkodkan sepanjang 2015.
Menurutnya, peningkatan itu berkemungkinan disebabkan tangkapan berkaitan aktiviti perlombongan bauksit pada awal tahun ini.
“Selain kes bauksit, kita juga banyak melakukan tangkapan kes-kes lain dari semasa ke semasa menerusi hasil risikan sendiri ataupun daripada aduan orang ramai,” katanya selepas penutupan majlis penerangan
dan wacana bertajuk “Pencegahan Rasuah Bermula Dari Rebung” anjuran SPRM Pahang semalam.
Kira-kira 400 belia menghadiri wacana berkenaan.
Dalam pada itu, Wan Ramli berkata penganjuran wacana seumpama itu dapat merapatkan hubungan antara SPRM dan golongan belia yang boleh dijadikan sebagai ‘mata dan telinga’ suruhanjaya berkenaan bagi membanteras gejala rasuah.
Katanya, golongan itu boleh dijadikan sebagai sumber bagi SPRM untuk memperoleh maklumat berkaitan rasuah.
“Ini berikutan statistik pembabitan rasuah juga menunjukkan 40 peratus kes membabitkan golongan berumur antara 18 dan 40 tahun,” katanya.– BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.