BALING - “Saya cuba leraikan keadaan, tetapi saya pula yang dituduh,” demikian luahan Timbalan Speaker Dun Kedah, Datuk Azmi Che Husain yang didakwa memukul seorang pemuda dalam satu insiden pergaduhan di hadapan Aman Central pada 15 Mei lalu, kira-kira jam 5.45 petang.
Semalam, satu rakaman video berdurasi 33 saat yang memaparkan pergelutan seorang lelaki bersama tiga individu lain dengan salah seorangnya ialah Azmi tersebar luas di media sosial.
Sambil menjelaskan perkara sebenar, Azmi berkata, sebelum kejadian itu berlaku, pemuda yang mendakwa dipukul itu menunjukkan isyarat tidak elok kepada anaknya yang sedang memandu.
Menurutnya, dia yang seolah-olah melakukan provokasi itu kemudiannya bertindak memaki hamun anaknya.
“Saya ketika itu dalam kereta dengan dua lagi anak lelaki. Bila kejadian macam tu berlaku, saya turun kereta dan tanya kenapa dia buat begitu kepada anak saya.
“Namun bila disoal, dia bertindak memaki hamun saya. Salam yang diberi sebelum itu pun tidak dijawabnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau yang juga Adun Bayu berkata, lelaki itu kemudian bertindak lebih agresif apabila keluar dari kereta dan menendangnya sehingga terjatuh.
“Dua anak yang ketika itu berada dalam kereta keluar untuk mempertahankan saya dari terus dipukul. Siapa yang sanggup tengok ayah mereka dipukul depan mata.
“Jadi berlaku pergelutan antara mereka bertiga, saya yang berada di situ cuba meleraikan pergaduhan, tetapi saya ditumbuk oleh lelaki itu,” katanya.
Katanya lagi, lelaki berkenaan juga dilihat cuba memutar belitkan kejadian sebenar apabila menuduh beliau dan anak-anaknya menumbuk teman wanitanya di bahagian dada, tangan kanan dan kiri.
Menurutnya, perkara itu langsung tidak berlaku seperti didakwa, sebaliknya wanita itu mengalami kecederaan apabila ditolak masuk ke dalam kereta oleh pemuda tersebut.
“Saya dan anak-anak langsung tidak sentuh wanita itu, tetapi bila dia keluar dari kereta untuk leraikan pergelutan, dia pula yang ditarik dan ditolak masuk ke dalam kereta oleh lelaki berkenaan.
“Jika ada pihak yang masih ragu-ragu dengan tuduhan ini, sila berikan bukti segera bahawa wanita itu benar-benar ditumbuk,” katanya.
Azmi mendakwa, insiden salah faham yang diviralkan itu adalah hasil agenda dan perancangan pihak tertentu bagi mencalarkan imej politiknya.
Tanpa ingin mendedahkan siapa pelakunya, beliau mengakui mengenali individu yang cuba memburuk-burukkan imejnya dengan merancang insiden berkenaan.
“Kejadian itu berlaku siap dengan rakaman dari kamera, seperti ada sesuatu yang tidak kena.
“ALLAH akan bersama orang yang benar, saya yakin dengan janji-NYA,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kes berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.
“Saya juga akan membuat laporan polis selepas difitnah, sebelum ini kes ini tidak dilaporkan kerana saya hanya meleraikan keadaan,” katanya.
Dalam pada itu di ALOR SETAR, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pengadu membuat laporan polis pada hari kejadian dan tidak mengenali Adun itu sehingga kes tersebut menjadi viral dalam laman sosial.
Mohd Rozi berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.