Jumaat, 27 Mei 2016

Sasaran PTPTN kutip RM15 bilion hutang belum tercapai

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA KANGSAR: Sasaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) untuk mengutip balik pinjaman sebanyak RM15 bilion sejak ia ditubuhkan 19 tahun lalu belum tercapai.
 
Pengerusinya Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata bagi tempoh 1997 hingga Februari lalu, PTPTN sekadar mampu mengutip balik pinjaman berjumlah RM7.49 bilion.
 
"Walaupun sudah ada peningkatan daripada segi kutipan balik secara bulanan yang diperoleh PTPTN menerusi beberapa pendekatan termasuk pemotongan gaji, tetapi kita masih belum mencapai sasaran sepatutnya.
 
"Sejak ditubuhkan hingga sekarang kita telah mengeluarkan RM55 bilion kepada peminjam dan kita sasarkan untuk mengutip balik sekurang-kurangnya RM15 bilion," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Pelajar Bersama PTPTN serta Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri), di sini Khamis.
 
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata sepanjang tahun ini pula PTPTN telah berjaya mengutip balik pinjaman berjumlah RM980 juta.
 
Shamsul Anuar berkata PTPTN masih mengkaji dan melihat pendekatan yang bersesuaian untuk melaksanakan potongan gaji terhadap sektor lain bagi membayar balik pinjaman PTPTN.
 
"Kaedah dan pendekatan kita untuk setiap sektor berbeza tetapi apa yang penting kita nak capai sasaran kita," katanya.
 
Pada majlis itu, Yayasan Perak menyumbangkan RM9,400 dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada 47 pelajar Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin yang disampaikan isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Sharipah Zulkifli.
 
PTPTN pula memberi sumbangan berbentuk barangan keperluan harian kepada 50 keluarga pelajar bagi meringankan beban perbelanjaan harian. - BERNAMA
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.