Sabtu, 28 Mei 2016
Peruntukan RM147 juta kepada Esscom ‘menghabiskan beras’
KUALA LUMPUR : Peruntukan sebanyak RM146.9 juta kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) adalah satu pembaziran.
Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid berkata, ini kerana Esscom kurang membantu dalam menjaga keselamatan Sabah berikutan kes penculikan masih berlaku.
Katanya, fungsi Esscom juga didapati bertindih dengan peranan Ketua Polis Sabah.
“Peruntukan yang diberikan kepada Esscom memang tidak berbaloi. Orang kata ‘menghabiskan beras’ saja.
“Sebab itu kita lihat masih berlaku penculikan dan seolah-olah Esscom kurang berkesan.
“Selain itu, perintah berkurung juga diisytiharkan oleh Ketua Polis Sabah. Apa guna Esscom? Apa fungsi Ketua Pengarah Esscom kerana ia dilihat seolah-olah tidak ada kuasa, hanya pada nama, tapi tak ada kekuatan,” kata Imran ketika ditemui di lobi Parlimen.
Jelasnya lagi, kewujudan Esscom dilihat hanya untuk mewujudkan empayar penguatkuasaan Kerajaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan Esscom menerima RM146.9 juta peruntukan sejak ditubuhkan pada 2013 sehingga kini.
Daripada jumlah itu katanya, RM49.4 juta adalah untuk mengurus dan selebihnya, RM97.5 juta bagi perbelanjaan pembangunan.
Imran dalam pada itu menggesa kerajaan segera membuat rundingan dan menyelamatkan empat rakyat Malaysia yang diculik hampir dua bulan di negeri tersebut, supaya tidak ada lagi kejadian pemenggalan kepala berlaku lagi.
“Saya tuntut mereka adakan kawalan helikopter dan terbang di persisiran kawasan itu pada waktu tertentu.
“Penculik-penculik ini akan lebih berhati-hati kerana helikopter membuat awasan dan kawalan. Kaedah itu mungkin akan dapat kurangkan aktiviti penculikan,” jelasnya yang juga bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada TLDM.
Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang pada 1 April lalu, empat rakyat Malaysia berumur 21 hingga 34 tahun merupakan antara sembilan kru kapal tunda sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia, diculik lapan lelaki bersenjata yang memintas kapal tunda dinaiki mereka di perairan Ligitan, berhampiran Semporna, manakala kru lain masing-masing warga Indonesia dan Myanmar dibebaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.