Isnin, 30 Mei 2016

Mastura tak perlu hadir penamaan calon

FREE MALAYSIA TODAY


Peraturan SPR tidak mengkehendaki calon berbuat demikian, sebaliknya pencadang dan penyokong yang perlu menghadiri proses penamaan calon.


anuar-musa-datin-mastura


KUALA KANGSAR: Datin Mastura Mohd Yazid yang dinamakan sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar tidak perlu menghadiri penamaan calon pada 5 Jun ini kerana masih dalam tempoh edah selepas kematian suaminya.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menghendaki calon berbuat demikian, sebaliknya pencadang dan penyokong yang perlu menghadiri proses penamaan calon.

“Orang yang mencadang dan menyokong perlu hadir, calon tidak perlu hadir. Oleh itu, Datin Mastura tidak perlu hadir,” katanya selepas melakukan lawatan ke Hospital Kuala Kangsar semalam.

Beliau mengulas kenyataan Mastura, 55, menerusi satu tayangan video bahawa beliau tidak dapat menyertai kempen bermula 5 Jun ini kerana masih dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari sebagaimana ditetapkan Islam apabila kematian suami.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mastura yang juga balu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar.

Ditanya sama ada Mastura akan diwakilkan anaknya, Annuar berkata: “Dalam peraturan pilihan raya, calon dibenar untuk melantik wakilnya.

“Datin Mastura ada wakil-wakil calonnya, jadi tidak semesti anaknya atau mungkin sesiapa sahaja,” katanya.

Pada PRU ke-13, Wan Mohammad Khair-il Annuar memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian penyandangnya dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.– BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.