Ahad, 29 Mei 2016

Loke jawab Hadi: Ingat era Pakatan dulu

MALAYSIAKINI


DAP berasa amat kesal dan menafikan sekeras-kerasnya "tuduhan liar" Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan reaksi beberapa ahli parlimen DAP pada Khamis lalu sebagai memusuhi Islam.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata apa yang dipertikaikan sebahagian wakil mereka di Dewan Rakyat kelmarin adalah berkaitan prosedur mesyuarat serta tujuan kerajaan membenarkan rang undang-undang persendirian itu dibentangkan.

"Kami mempersoalkan mengapa tiba-tiba pihak kerajaan membenarkan usul tersebut dibentangkan tanpa sebarang notis dan seolah-olah untuk memerangkap ahli-ahli Parlimen yang langsung tidak bersedia untuk membahaskan pindaan rang undang-undang tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin Abdul Hadi membentangkan usul rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat selepas mendapat ruang melalui cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Usul itu kemudian disokong Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Bagaimanapun usul pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat itu tidak dibahaskan kerana Abdul Hadi memohon ia ditangguhkan sehingga sesi akan datang.

Loke yang juga anggota parlimen Seremban berkata "tuduhan liar" yang selama ini dilempar Umno untuk memburuk-burukkan imej DAP di kalangan masyarakat Islam kini disambung oleh PAS.

Katanya, pendirian DAP dalam isu berkenaan sentiasa konsisten, iaitu "tidak bersetuju atas prinsip ia tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan" serta tidak pratikal dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

"Pendirian inilah yang kami pegang selama kami bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat dari 2008 sehingga 2015.

"Dalam hujah kami yang tidak bersetuju dengan PAS dalam isu hudud selama ini, pemimpin DAP tidak pernah memperlekehkan undang-undang syariah mahupun memusuhi masyarakat Islam. DAP tidak pernah anti-Islam," katanya.

Loke juga berkata, semasa era Pakatan Rakyat wujud, pemimpin DAP banyak mempertahankan PAS di kalangan masyarakat bukan Islam daripada serangan parti komponen BN yang sentiasa memperlekehkan undang-undang syariah, terutamanya di kalangan pemimpin MCA.

"Malah sehingga hari ini, MCA sentiasa menyalahkan DAP sebagai parti yang memperkuatkan PAS dalam pilihan raya umum ke-13 sehingga Umno tidak berani menghalang PAS untuk melaksanakan Hudud.

"Justeru, kenyataan Abdul Hadi mempertahankan parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan dan menuduh DAP sebagai tidak beradab dan memusuhi Islam amatlah dikesali dan tidak adil sama sekali.

"Apakah ini sebahagian daripada syarat Umno membenarkan beliau membentangkan usul rang undang-undang persendirian di parlimen dan membantu Umno menentang DAP?" tanya Loke.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.