ARIF ATAN
Bermodalkan dana yang melimpah, BN dilihat menggunakan apa cara
sekalipun umpan untuk memancing 1,138,650 pengundi pada 7 Mei ini.
Di N.43 Daro dan N.44 Jemoreng, dua daripada 13 kerusi ditandingi
Amanah, BN menawarkan hadiah lumayan untuk menarik kehadiran orang ramai
ke program kempen yang dijadualkan akan dihadiri oleh Najib.
Berlangsung hari ini, hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta
Proton dan dua unit motosikal itu dikatakan belum pernah ditawarkan
dalam mana-mana lawatan Najib yang juga Pengerusi BN ke Sarawak sebelum
ini.
Untuk rekod, kedua-dua kerusi Dun itu yang berada dalam Parlimen Igan masing-masing mempunyai seramai 8,491 dan 9,699 pengundi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011, BN melalui parti tulang
belakangnya di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang
dengan majoriti undi yang dilihat cukup selesa.
Di Daro, calon PBB-BN, Murni Suhaili menang dengan majoriti 3,197
undi manakala Abu Seman Jahwie menang di kerusi Jemoreng dengan majoriti
2,926 undi.
Selain itu, Pas juga dilihat dalam situasi terdesak memandangkan PRN
ke-11 kali ini menyaksikan pertembungan dengan Amanah yang lahir akibat
kepincangan kepimpinan Pas di bawah Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Pas berentap dengan Amanah di lima kerusi Dun iaitu di Beting Maro, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya dan Sebuyau.
Di Beting Maro, Pas diketahui umum berharap untuk menyambut 'anak
sulung' pada PRN kali ini memandangkan penyandang, Ghazali Gapor dari
PBB hanya mendapat majoriti tipis 391 undi pada PRN 2011. Bahkan, pada
PRN ke-10 itu, Pas dikatakan berhabis wang lebih RM1 juta sepanjang
tempoh berkempen.
Barangkali menyedari pendekatan politik mereka yang sudah jauh
berbeza pada masa ini, Pas dilihat cuba "menyembunyikan" imej Presiden
yang ditaati, Hadi Awang dalam kempen mereka.
Hal ini dapat dilihat dengan penonjolan hanya gambar Almarhum Tuan
Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada lencana kempen yang diedarkan di Beting
Maro.
Sumber memberitahu, sekumpulan ahli Pas mengagihkan bahan kempen itu
yang turut memaparkan calon Hamidah Mokhtar ketika beliau berada di
sekitar Hotel Phoenix Inn, Kalok di Pusa baru-baru ini.
Aktivis Amanah itu berpendapat Pas mungkin tidak menyedari BN telah
membawa masuk lebih 3,000 pengundi baharu di Beting Maro pada PRN kali
ini.
Untuk rekod, seramai 226 calon bertanding pada PRN yang kali pertama
Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dengan
111 daripadanya adalah dari enam parti pembangkang.
Selain Amanah yang bertanding di 13 kerusi, PKR mempertaruhkan 40
calon manakala 31 kerusi ditandingi DAP dan Pas hanya di 11 kerusi Dun.
Parti pembangkang di Sarawak, Parti Reformasi Negeri (Star)
bertanding di 11 kerusi manakala Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS)
bertanding di lima kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.