IPOH, : Sosialis Muda DAP (DAPSY) menyokong penuh calon Parti Amanah Negara (Amanah) mewakili Pakatan Harapan untuk bertanding dalam kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar 18 Jun ini.
Menurut Ketua DAPSY Wong Kah Woh, pendirian ini dibuat memandangkan PAS telah menolak segala kemungkinan untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan Pakatan Harapan, dan dilihat lebih cenderung untuk memenangkan UMNO.
“Oleh sebab itu, Pakatan Harapan perlulah meletakkan calon yang terbaik di kedua-dua kawasan dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar untuk menewaskan calon BN,” ujarnya.
Beliau berkata, bagi memenangkan calon Pakatan Harapan, DAPSY juga akan bekerjasama erat dengan Pemuda Amanah dan Angkatan Muda Keadilan dalam kedua-dua PRK ini.
“Kita akan kerah jentera DAPSY seluruh negara untuk memenangkan calon Pakatan Harapan. Jentera DAPSY dari Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang dan Sabah akan membantu kempen PRK di Kuala Kangsar manakala jentera DAPSY dari Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak akan berkempen di Sungai Besar,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri Canning itu.
Selain itu, pilihanraya kecil ini katanya merupakan pilihanraya pertama yang akan ditandingi Pakatan Harapan di Semenanjung Malaysia selepas penubuhannya.
“Pakatan Harapan perlu memaparkan satu barisan pembangkang yang bersepakat, bersepadu dan dapat memberikan keyakinan kepada pengundi-pengundi menjelang PRU-14.
“Amanah baru berusia lapan bulan. Selaku rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan, adalah penting untuk kami memastikan Amanah berkembang, dan seterusnya menjadi satu parti yang mampu untuk melontarkan cabaran terhadap UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU-14,” katanya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.