shahbudindotcom
Selama
ini, Pas selalu berbangga dengan perjuangan Islam yang dibawanya dan
menolak sama sekali sebarang bentuk pengagungan terhadap bangsa.
Bagi Pas, perjuangan mengenai bangsa adalah assabiyah dan tidak termasuk dalam senarai yang dibenarkan oleh Islam.
Malah,
kerap juga kita mendengar, di akhirat nanti yang ditanya malaikat ialah
keIslaman seseorang dan bukan sama ada seseorang itu Melayu, Cina,
India atau sebagainya.
Sebab
itu, jubah dan kopiah putih adalah tradisi pakaian yang amat
dibanggakan dalam Pas kerana ia dilihat lebih melambangkan keIslaman
yang tiada tolok bandingnya berbanding berbaju Melayu dan bersampin.
Tetapi sejak berbaik-baik dengan UMNO, Pas nampaknya sudah mula berbeza.
Buat pertama kali di Muktamar Pemuda Pas yang berlangsung di Kelantan, ciri-ciri pakaian Melayu telah ditampilkan.
Pimpinan
Pemuda Pas, Nik Abduh Nil Aziz dan lain-lain barisan kepimpinannya
tampil segak dengan pakaian seperti pahlawan Melayu, siap dengan tanjak
dan keris terselit di pinggang.
Mujur tidak ada adegan cium keris, kalau tidak, sebiji macam Pemuda UMNO.
Tuan
Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas yang menjadi perasmi muktamar
juga hadir lengkap sepersalinan bak Pahlawan Melayu zaman dulu-dulu.
Sebelum
ini, jika kita masih ingat, Hadi Awang juga rela berpakaian Melayu
merah jambu sedondon dengan Najib Razak di sebuah majlis multaqa ulama
sedangkan selama ini pakaian yang menjadi kebiasaan Presiden Pas ialah
jubah yang kerapkali dipakai bersama kot berwarna gelap.
Apa
sudah jadi kepada Pas sebenarnya? Kenapa baru sekarang mahu menunjuk
ciri-ciri keMelayuan sedangkan berpuluh-puluh tahun lamanya hanya ciri
Islam yang ditekankan?
Apa tujuan perubahan ke arah Melayu ini dilaksanakan?
Tidak memadaikan dengan Islam saja dijadikan modal dendangan dalam perjuangan, lalu soal bangsa juga mahu diheret sama?
Apakah
Pas akan mula menyeimbangkan resepi agama dan assabiyah dalam hidangan
perjuangannya selepas ini atau sewalnya bermula di Sungai Besar dan
Kuala Kangsar?
Mungkinkah selain Allahu Akbar, kita juga bakal mendengar laungan Hidup Melayu di mana-mana program Pas tidak lama lagi?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.