ARIF ATAN
Kerajaan digesa supaya mempunyai kesungguhan politik bagi mengelak penindasan ke atas golongan pekerja asing berterusan.
Penyelaras Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Florida A.
Sandanasamy berkata, isu paling mendesak dan menindas hak pekerja
imigran adalah gejala rasuah dalam kalangan pihak berkuasa.
"Itu masalah paling utama kerajaan bahkan di kebanyakan negara lain
ketika ini, masing-masing dilihat jaga kepentingan sendiri saja,"
ujarnya dalam forum "Pekerja Imigran: Adakah Mereka Bukan Manusia?" di
ibu negara baru-baru ini.
Sehubungan itu, Florida menyarankan masyarakat mengambil tindakan
merakam gambar atau video; merekod audio serta mencatat nombor anggota
berkuasa apabila melihat sebarang kejadian peras ugut yang sedang
berlaku.
Hal
yang sama juga diakui oleh Pengarah Eksekutif NGO North South
Initiative (NSI), Adrian Pereira apabila mengaitkan faktor gaji diterima
anggota pihak berkuasa dengan gejala memeras wang daripada migran.
"Polis sendiri gaji rendah. Imigresen dan Rela pun ada 'pow' (peras
wang) pekerja imigran. Ya, bukan semua buat begitu tapi itulah banyak
aduan mangsa kepada pihak NGO.
"Ini fakta yang tidak boleh kita nafikan. Siapa nak perjuangkan gaji setimpal dan lebih tinggi untuk anggota berkuasa?
"Di Amerika dan Singapura contohnya, gaji polis dibayar tinggi untuk mengelak mereka terdorong melakukan rasuah.
"Denda yang sangat teruk dengan banyak hak akan dilucutkan kalau
didapati mereka terlibat dengan rasuah kerana dianggap menggadaikan
kepercayaan kerajaan," ujarnya yang telah 30 tahun terlibat dalam NGO
yang memperjuangkan golongan terpinggir.
Kerja 16 jam
Mengulas kitaran eksploitasi ke atas pekerja imigran, Adrian berkata,
pelbagai pihak terlibat menindas mereka termasuk ke atas tujuh juta
pekerja asing yang dilaporkan berada di negara ini.
"Pekerja imigran adalah satu komoditi sumber manusia. Di tempat
kerja, tenaga mereka diperah untuk bekerja ada sehingga 16 jam sehari.
Itu sudah jelas eksploitasi.
"Pemerdagangan manusia pula berlaku kerana wujudnya rantaian daripada
ejen di negara asal sehingga ke penyeludup di negara transit atau
destinasi," jelasnya di hadapan kira-kira 50 hadirin di Restoran Amjal,
Jalan Pantai Baharu.
Sehubungan itu, beliau berpendapat kadar gaji
bagi sektor diceburi pekerja migran perlu diselaraskan di peringkat
rantau ini bagi mengekang ugutan di pihak kapitalis.
"Sektor swasta dan ahli politik yang berfikiran liberal ekonomi kata,
kalau naik gaji (atau laksanakan gaji minima pekerja), kami lari ke
Vietnam, China. Afrika pun pekerja di sana boleh diberi AS$1.
"Dalam percaturan ini, kita harus samaratakan gaji. Syarikat tak
boleh peras ugut kerajaan mahu pindah operasi ke negara yang boleh beri
kadar upah lebih rendah. Ada banyak undang-undang untuk melindungi hak
pekerja migran tetapi banyak juga limitasi," tambah Adrian lagi dalam
program anjuran gerakan Kuliah Buku (Kubu) lagi.
Untuk rekod, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam
Laporan Tahunan 2014 ada menyeru kerajaan yang ketika itu Pengerusi
Asean supaya segera memuktamadkan dokumen Pengisytiharan Asean mengenai
Perlindungan dan Promosi Hak Pekerja Migran yang telah diterima pakai
pada 2007.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.