Khamis, 26 Mei 2016

Demi Allah saya tak kenal dia – Ratu Naga

 
Beliau juga menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan inisiatif Deklarasi Rakyat 


ratu naga


PETALING JAYA: ‘Ratu Naga’ menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau pernah berhubung dengan pengaturcara komputer separuh masa Azharuddin Othman @ Abdullah, apatah lagi membeli pengkalan data 900,000 nama dan kad pengenalan untuk Deklarasi Rakyat daripadanya.

“Dengan nama Allah saya tak kenal dia langsung. Ini fitnah. Tapi saya tergamam sebab dia boleh bersumpah kenal saya,” kata Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah ketika dihubungi FMT.

Beliau juga berkata tidak pernah memiliki sebarang perkaitan dengan inisiatif Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

“Saya mana ada kaitan dengan Deklarasi (Rakyat). Salam dengan Tun pun tak pernah,” katanya lagi.

Ditemani Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, seorang individu bernama Azharuddin Othman @ Abdullah hari ini tampil dengan akuan berkanun mendakwa didatangi ‘Ratu Naga’ yang ingin membeli pangkalan data 900,000 nama pada harga RM5,000.

“Pada 27 April 2016, saya dihubungi oleh Ratu Naga untuk membeli pangkalan data warganegara Malaysia dengan tujuan mengumpul 1.2 juta tandatangan untuk Deklarasi Rakyat, yang disokong oleh Tun Mahathir (Mohamad),” katanya dan mendakwa hanya menerima RM1,000 dan bukannya seperti yang dijanjikan.

Azharuddin mendakwa memiliki data tersebut memandangkan kerjanya sebagai pengaturcara komputer separuh masa dengan parti-parti politik bagi tujuan pilihan raya.

Sebelum ini, Ratu Naga menerusi akaun Facebooknya meluahkan kemarahannya dan berkata tidak akan berdiam diri dengan dakwaan tersebut.

“Saya akan buat PC (sidang media) jawab balik. Saya akan diam? No (tidak), biar saya pula lawan,” katanya yang difahamkan akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.