KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan dakwaan bahawa
pencalonan akan menjadi tidak sah sekiranya calon tidak hadir pada hari
penamaan calon, adalah tidak tepat.
Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata di bawah Peraturan
6 (2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981,
borang pencalonan boleh dikemukakan oleh calon dan pencadang dan
penyokongnya, atau oleh mana-mana dua, atau mana-mana seorang daripada
mereka.
"Berdasarkan peraturan ini amat jelas tiada halangan dari segi
undang-undang sekiranya borang penamaan calon tidak dikemukakan sendiri
oleh calon tersebut tetapi boleh juga dikemukakan oleh salah seorang,
sama ada pencadang atau penyokong beliau," katanya dalam kenyataan hari
ini.
Beliau berkata di bawah peraturan itu, kertas penamaan calon mesti
diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di tempat penamaan
antara 9 hingga 10 pagi pada hari tersebut.
"Sama ada sah atau tidak borang penamaan tersebut bagi menentukan
kelayakan bakal calon masih tertakluk kepada syarat-syarat yang sedia
ada bagi kelayakan seseorang calon sepertimana dalam Perlembagaan
Persekutuan dan perundangan bertulis yang berkaitan Pilihan Raya yang
berkuatkuasa buat masa ini," katanya.
Isu timbul apabila terdapat pihak yang mendakwa pencalonan Datin
Mastura Mohd Yazid bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar tidak sah
sekiranya beliau tidak hadir pada hari penamaan calon 5 Jun ini.
PRK Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini, setelah Datuk Wan Mohammad
Khair-il Anuar yang juga Anggota Parlimen kawasan itu, terkorban dalam
nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.