Selasa, 3 Mei 2016

Calon BN Pujut, Hii bagai seorang khalifah - ustaz PBB

MALAYSIAKINI





Seorang ustaz, dalam suatu majlis kempen pilihanraya negeri PBB, membacakan doa untuk kemenangan calon BN bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Pujut, Hii King Chiong sambil menggelarkan Hii sebagai seorang 'khalifah'.

"Hii King Chiong adalah seperti khalifah kpd kami. Berikanlah dia kemenangan, ya Allah," kata ustaz itu dengan Hii berdiam diri sebagai tanda hormat ketika doa tersebut dibacakan.

Timbalan Presiden PBB, Datuk Abang Johari Abang Openg yang berada pada majlis itu turut mengaminkan doa tersebut.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata, Barisan Nasional (BN) boleh memenangi ketiga-tiga kerusi bandar didominasi masyarakat Cina di kawasan Miri termasuk Pujut jika semua Bumiputera mengundi parti pemerintah.

"Jangan pecahkan undi Bumiputera. Jika semua Bumiputera sokong BN, kita akan menang di Piasau, Pujut dan Senadin.

"Ini perkiraan saya," ujar Adenan lagi.

Adenan menambah, undi masyarakat Melayu yang bersatu mampu memastikan kemenangan BN walaupun undi masyarakat Cina terpecah.

Sementara itu, Sin Chew Daily turut melaporkan Hii telah melawat kuil Sikh semalam untuk mendapatkan restu kemenangannya.

Jawatankuasa kuil tersebut dilaporkan berkata, mereka harap Hii akan menang dan membawa kemajuan kepada Pujut.

Di Pujut, Hii yang merupakan calon langsung BN sedang berdepan pertarungan dengan DAP, PAS dan bebas.

68 peratus pengundi di kerusi DUN itu ialah masyarakat Cina dan selebih 32 peratus adalah Bumiputera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.