Selasa, 31 Mei 2016

Bila penggunaan katil hospital sampai ke tahap 93%

 
 
Ketiga-tiga hospital di Wilayah Selatan, iaitu Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSA), Hospital Sultan Ismail dan Hospital Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim Kulai, sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit yang semakin ramai.

Perkara tersebut telah pun saya bangkitkan dalam persidangan Parlimen baru-baru ini.

Menurut maklum balas yang saya terima daripada Datuk Seri Dr S Subramaniam, menteri kesihatan, kadar penggunaan katil HSA telah mencapai tahap 93 peratus dan terdapat keperluan untuk menaik taraf fasiliti di sana.

Menurut jawapan tersebut, usaha-usaha untuk menaik taraf HSA dan membina semula sebahagian fasiliti HSA telah dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun 2005 sehingga sekarang dan ia akan diteruskan bagi disesuaikan dengan keperluan.

Menurut menteri kesihatan, dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10), sebanyak tiga projek telah dilaksanakan di HSA dengan nilai kos keseluruhan sebanyak RM30,073,840.00 termasuk membekalkan peralatan Brainsuite bagi perkhidmatan neurosurgeri HSA.

Sebanyak lima projek lagi yang telah diluluskan dan sedang dalam peringkat pelaksanaan.

Ini termasuk projek pembinaan bangunan baru jabatan patologi HSA yang sedang di peringkat memuktamadkan rekabentuk terperinci dan dijangka untuk tender sebelum hujung tahun 2016.

Selain itu, dalam tahun 2015, terdapat sebanyak lapan projek naik taraf kecil yang telah diluluskan dengan jumlah nilai RM2,272,550.

Dalam rolling-plan 1 RMK-11, kementerian juga bercadang membina pusat rawatan harian (ACC) dan Kompleks Pakar Hospital Sultanah Aminah.

Tetapi cadangan tersebut adalah melalui kaedah penswastaan / “land swap” tanah milik kementerian di Tampoi.

Kertas kerja cadangan penswastaan tersebut telah dikemukakan oleh kementerian kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) pada bulan 4 Mac 2016 untuk dipertimbangkan.

Sebenarnya, kerajaan negeri Johor juga telah memohon pembinaan Hospital Sultanah Aminah Dua atas tapak milik KKM di Tampoi dan Pasir Gudang.

Menteri Besar Negeri Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah membuat pengumuman tersebut pada tahun 2014.

Tujuan cadangan ini adalah untuk menyelesaikan masalah pesakit yang terlalu ramai di tiga hospital kerajaan di kawasan Iskandar Malaysia termasuk HSA, Hospital Sultan Ismail dan Hospital Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim Kulai.

Jadi, apa yang saya ingin tanyakan di sini, adakah cadangan kerajaan negeri Johor tersebut masih akan dilaksanakan oleh kementerian?

Secara dasarnya saya menyokong cadangan kerajaan negeri Johor kerana di hospital kerajaan rawatan dapat diberikan secara percuma kepada semua rakyat khususnya rakyat Johor yang kini terbeban dengan kos sara hidup yang semakin menekan kehidupan mereka.

Pada ketika kini sudah terdapat banyak hospital swasta di dalam Wilayah Iskandar Malaysia, jadi sudah sampai masanya kerajaan pusat menambah dua lagi hospital kerajaan di sini untuk kegunaan dan kemudahan rakyat jelata.

TEO NIE CHING anggota parlimen Kulai merangkap naib pengerusi DAP Johor.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.